Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai dilanggar sebuah kereta di Jalan Hala Pegoh 11, Desa Pakatan, Lahat dekat sini, pada tengah hari Khamis.

Konstabel Mohamad Riezal Izani Shakri, 24, yang beralamat di Jeli, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh. Superintenden Mohd Nordin Abdullah berkata, mangsa bertugas di Balai Polis Kampung Baru Buntong di sini.

Menurutnya, kira-kira jam 12.20 tengah hari, pihaknya menerima maklumat dari orang awam, menyatakan satu kemalangan berlaku di Jalan Hala Pegoh 11, melibatkan sebuah motosikal dan kereta.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dari arah Jalan Pegoh Seberang masuk ke Jalan Hala Pegoh 11, kemudian telah dilanggar oleh kereta, nombor pendaftaran tidak pasti,” katanya di sini.

Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.