Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang sarat mengandung dipercayai meninggal dunia lebih 12 jam sebelum ditemui rakannya di dalam sebuah kuarters perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, Kelantan pada Khamis.

Mangsa, Siti Khalijah Zainal Abidin, 30 tahun, disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak sebelah kanan dan kandungan berusia 9 bulan juga turut maut.

Difahamkan mangsa yang turut menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis dijangka bersalin pada 9 Februari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa yang terlantar tidak sedarkan diri daripada seorang anggota polis wanita berusia 30 tahun yang juga teman serumahnya sekitar pukul 8 malam.

Katanya, arwah ketika itu tidak bertugas kerana cuti dan tinggal berseorangan di rumah, manakala temannya pulang ke rumah keluarga di Kota Bharu.

Pada pukul 8 malam teman serumahnya telah pulang dan mengetuk pintu beberapa kali namun tiada respons daripada arwah.

Setelah pintu berjaya dibuka, arwah dilihat terbaring tidak sedarkan diri di atas lantai ruang tamu.

Hasil laporan perubatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak.

Menurut Mohd. Taufik, jenazah telah dibawa ke Hospital Gua Musang sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu bagi tujuan bedah siasat.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di kampung halaman ibunya di Mentakab, Pahang.

Arwah sudah bertugas di IPD Gua Musang hampir 10 tahun turut meninggalkan seorang lagi anak lelaki berusia enam tahun dan suami yang juga seorang anggota polis.