Anggota Pasukan Petugas Khas (PKK) bagi menyiasat kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat, Datuk Mokhtar Mohd Noor telah menarik diri secara sukarela daripada pasukan tersebut.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata, keputusan terbabit dibuat atas rasa tanggungjawab beliau untuk memelihara integriti dan ketelusan PPK ekoran tindakan pihak tertentu yang mempersoalkan keanggotaan beliau dalam pasukan berkenaan.

"Beberapa pertubuhan bukan kerajaan telah mempersoalkan pelantikan beliau sebelum ini kerana beliau dipercayai terlibat secara langsung dalam kedua-dua kes kehilangan Koh dan Amri.

"Dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali kerana beliau bukan merupakan saksi atau pegawai yang menyiasat kedua-dua kes ini.

"Pelantikan Mokhtar dibuat berdasarkan profesionalisme dan kepakarannya sebagai bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai pengetahuan luas berkaitan isu perundangan PDRM yang boleh membantu PPK menjalankan fungsinya," menurut kenyataan itu.

"Kementerian Dalam Negeri mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Mokhtar Mohd Noor atas komitmen beliau untuk membantu mencari keadilan kepada keluarga mangsa kehilangan selain kesanggupan untuk mengambil kira pandangan awam mengenai keanggotaannya dalam PPK agar tidak menjejaskan kredibiliti siasatan dan hasil laporan yang akan dikemukakan nanti," menurut kenyataan itu.

Pelantikan anggota baharu PPK sebagai pengganti Mokhtar akan dibuat dalam waktu terdekat, menurut KDN.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lepas mengumumkan PPK ditubuhkan dengan melibatkan enam anggota yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abd Rahim Uda.

Selain Mokhtar, pasukan itu turut dianggotai oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Zamri Yahya dan Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Datuk Muhammad Bukhari Ab Hamid.

Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Mohd Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis KDN Mohd Russaini Idrus turut menyertai pasukan itu.

Pada April lalu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengeluarkan laporan yang membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas terlibat terhadap kehilangan secara paksa Koh serta Amri, dan susulan laporan itu, Kabinet pada 23 Mei bersetuju sebuah pasukan petugas khas dibentuk bagi meneliti laporan Suhakam itu.

Koh, 64, dilapor diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya, dekat sini, pada 13 Feb 2017, sementara Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 Nov 2016.

-- BERNAMA