Angin kencang Barat Daya berkelajuan 40 hingga 50km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Perlis dan Kedah sehingga Selasa ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya pada Ahad berkata, ribut petir di perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan pula dijangka berterusan sehingga awal pagi Isnin.

"Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter. Ianya berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut," tambah kenyataan itu.

Sementara itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama turut dijangka berlaku di kawasan perairan Phuket sehingga Selasa.

Menurut kenyataan itu, angin kencang Barat Daya dengan kelajuan 40 hingga 50km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter itu berbahaya kepada sebarang aktiviti laut termasuk bot-bot kecil.