Angkara mata kail, dua remaja hilang nyawa apabila gagal timbul ke permukaan selepas terjun ke dasar Sungai Seduan berhampiran Taman Perumahan Permai Jaya, di sini.

Kedua-dua mangsa sebelum itu terlibat dalam aktiviti memancing dengan tiga rakannya yang lain sebelum mata kail salah seorang mangsa terlekat di dasar sungai.

Mangsa pertama, James Tiong kemudian bertindak terjun sungai untuk mengeluarkan mata kail tersebut, namun gagal timbul semula.

Bimbang akan keselamatan Tiong, Chiong Huat pula terjun untuk mendapatkannya namun turut hilang.

Pihak bomba hanya dimaklumkan tentang kejadian oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Sungei Merah sekitar jam 7.15 malam tadi dan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata dua anggota penyelam skuba dari Unit Penyelamat Dalam Air (PDDA) Bomba dan Penyelamat Zon 4 Sibu kemudian diturunkan ke dasar sungai untuk melakukan kerja penyelaman dan pencarian.

"Pencarian dilakukan sekitar lingkungan radius 10 meter dari lokasi mangsa jatuh, bagaimanapun gagal menemui sebarang petunjuk," kata Ling Hii.

Menurut Ling Hii, operasi disambung sekitar jam 7 pagi tadi dan pasukan PDDA melakukan dua kali selaman dengan enam penyelam.

"Dalam selaman pertama, pasukan ini berjaya menemukan mangsa Pau Chiong Huat yang berumur 18 tahun pada jarak 15 meter dari Pusat Kawalan Bomba di Sungai Seduan, sekitar jam 10.33 pagi tadi.

"Selaman kedua di lokasi yang sama pula telah berjaya menemukan mangsa kedua yang dikenali sebagai James Tiong Kiong Hoe, 12 tahun, pada jam 11.42 pagi," katanya lagi.

Kedua-dua mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Jarak lokasi mangsa lemas dari tebing sungai adalah sekitar dua meter manakala kedalaman sungai adalah di antara dua hingga lima meter.