Angkara satu telefon bimbit dua sahabat berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret, Sungai Petani, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki, awal bulan lalu.

Tertuduh M. Rinishwaran, 19, dan Sharudin Hassan Sha, 31, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Adibah Husna Zainal.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Tertuduh didakwa dengan niat bersama membunuh E Muniandy, 53, di LA Motel, Jalan Kelab Cinta Sayang, Taman Bandar Baru, Sungai Petani pada 4 Mac lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Rinishwaran dan Sharudin antara jam 6.10 petang hingga 9.45 malam.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaei Mohamed Riyaludin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 24 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia manakala kedua-dua tertuduh tidak dibenar ikat jamin.

Dalam kejadian 4 Mac lalu, Muniandy ditemui mati di sebuah bilik hotel di Taman Bandar Baru.

Mangsa yang berasal dari Kajang, Selangor, dilaporkan tiba di hotel itu pada jam 6 petang bersama rakannya.

Kira-kira jam 8 malam, pekerja hotel terdengar bunyi orang bergaduh di bilik berkenaan sebelum melihat rakan mangsa bergegas keluar.

Kedua-dua suspek kemudian ditahan enam jam selepas insiden berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel.