Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman membayangkan akan membina 'rumah baharu' bagi memperjuangkan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Anifah yang telah keluar UMNO pada bulan lepas berkata, sekiranya perlu untuk membina rumah tersebut, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan parti baharu bagi merealisasikan hak-hak rakyat di negeri ini.

"Sekiranya perlu untuk saya membuat parti baharu, tidak ada kemungkinan akan ada parti baharu yang diwujudkan bagi memperjuangkan MA63.

"Saya berpendapat bahawa saya akan mengutarakan kepada rakan-rakan sekiranya perlu dan pada masa yang tepat bahawa kita hanya membuat 'satu rumah' sahaja dan ini terpulang kepada perbincangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Santai dan Ramah Mesra Program Penjelasan Perjanjian Malaysian 1963 (MA63).

Turut hadir dalam majlis itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan peguam Ansari Abdullah yang turut menjadi panel dalam penjelasan MA63 kepada orang ramai.

Anifah yang juga bekas Menteri Luar berkata bahawa beliau tetap akan menyokong segala usul yang membawa manfaat kepada rakyat di negeri ini dalam memperjuangkan perkara-perkara yang termaktub dalam MA63.

Menurutnya, perjuangan MA63 harus diperjuangkan bagi mengembalikan apa yang menjadi hak rakyat Sabah dan dalam masa yang sama menegaskan bahawa beliau tidak akan menentang kerajaan dalam menuntut perkara ini.

"Saya tidak akan menentang kerajaan, jika perjuangan ini untuk rakyat Sabah, saya akan sokong. Perjuangan ini adalah penting untuk kerajaan persekutuan melihat tara Sabah dan Sarawak,"katanya.

Dalam perkembangan lain, Anifah masih belum terfikir untuk tidak menyertai mana-mana parti selepas bertindak keluar UMNO pada bulan lepas.

"Saya belum terfikir untuk tidak menyertai mana-mana parti setakat ini. Apa yang penting adalah perjuangan MA63 untuk rakyat Sabah,"katanya.