Anti-vaksin, golongan sesat perubatan!

Anti-vaksin, golongan sesat perubatan!
Gerakan anti-vaksin disifatkan sebagai golongan sesat perubatan, ujar Pakar Perubatan Keluarga, Medical Mythbuster Malaysia, Dr Sakinah Sulong.
KUALA LUMPUR: Gerakan anti-vaksin disifatkan sebagai golongan sesat perubatan, ujar Pakar Perubatan Keluarga, Medical Mythbuster Malaysia, Dr Sakinah Sulong.

Justeru, kerajaan perlu memandang serius gerakan kumpulan berkenaan daripada terus merebak.

"Kita memandang golongan agama yang sesat sebagai satu ancaman negara, saya memandang isu anti-vaksin sebagai golongan sesat perubatan yang perlu dipandang serius.

"Kalau kita tengok di Samoa, kes measles (demam campak) yang teruk dan meragut banyak nyawa, seorang anti-vaksin tegar di negara tersebut telah dihadapkan ke mahkamah kerana menghalang kerajaan membasmi measles di sana. Jadi itu yang pernah berlaku di negara luar," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Namun, tindakan yang diambil di luar negara cukup dengan Malaysia, di mana individu atau kumpulan anti-vaksin yang menyebarkan dakyah atau maklumat tidak tepat mengenai vaksin masih belum dikenakan sebarang tindakan.

Sebaliknya, negara masih mengambil pendekatan memberikan pendidikan kepada mereka yang masih menolak vaksin untuk anak mereka. 

"Di Malaysia kita bermula dengan pendidikan dulu tetapi seandainya perkara itu tidak berjaya kita perlu menghentikan sebarang usaha penerbitan buku yang menyebarkan maklumat yang salah.

"Tidak semestinya memasukkan mereka dalam penjara tetapi salah satunya itu dan menghentikan posting di laman sosial," ujarnya.

Katanya, perlu ada usaha yang berkesan untuk mengekang kumpulan anti-vaksin daripada terus menyebarkan fakta yang menyeleweng mengenai vaksin dan tohmahan yang boleh memburukkan nama baik institusi kesihatan negara.

"Jadi, ini kita serah kepada kerajaan mengenai perkara ini. Namun, kita tidak nafi masalah ini perlu diberi perhatian," tambahnya.

Sebelum ini, Medical Mythbuster Malaysia adalah antara NGO yang paling aktif membendung mitos perubatan di laman sosial termasuk melancarkan kempen petisyen mewajibkan pengambilan vaksin Program Imunisasi Kebangsaan.


Tag: NGO, Media, kerajaan, pendidikan, kesihatan, perubatan, anak, keluarga, Malaysia, vaksin, sesat perubatan, astro awani, Astro Awani



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.