Kementerian Luar menegaskan tiada asas yang mendapati Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tahanan politik seperti yang didakwa pihak tertentu.

Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata penahanan bekas ketua pembangkang itu memenuhi sepenuhnya piawaian antarabangsa hak asasi manusia, selain pemenjaraan Anwar adalah melalui perbicaraan yang adil.

"Berdasarkan instrumen antarabangsa, tiada definisi yang diterima pakai secara sejagat berkenaan istilah tahanan politik.

"Kerajaan Malaysia, sebagai panduan, telah merujuk kepada beberapa kriteria penentu dan mendapati bahawa kes Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memenuhi kriteria-kriteria tersebut untuk mentakrifkan beliau sebagai tahanan politik," menurut kementerian itu.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Kamarudin Jaafar (PKR-Tumpat) mengenai tindakan kerajaan terhadap pelbagai badan antarabangsa termasuk di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang menganggap pemenjaraan Anwar sebagai tindakan politik dan beliau sepatutnya dibebaskan.

Kementerian Luar berkata Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari PBB (WGAD) terdiri daripada lima individu yang dilantik dalam kapasiti peribadi, justeru pendapat oleh kumpulan itu tidak mewakili pandangan mana-mana negara anggota PBB atau PBB sendiri.

Pendapat WGAD juga adalah tidak terikat kepada undang-undang, menurut kementerian itu.

WGAD merupakan mekanisme yang dibentuk di bawah Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang diberi mandat untuk mengeluarkan pendapat mengenai penahanan seseorang individu berdasarkan aduan individu.

Maklum balas

Kementerian itu berkata kerajaan juga telah mengemukakan maklum balas komprehensif terhadap pendapat tersebut kepada WGAD melalui Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke PBB di Geneva pada 16 November 2015, serta memuat naik kenyataan akhbar mengenai perkara sama di laman web Kementerian Luar.

Kementerian itu juga menjelaskan dakwaan Anwar sebagai mangsa konspirasi politik telah diteliti secara komprehensif oleh Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, pihak Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa pembelaan konspirasi politik hanya kekal sebagai penafian semata-mata dan merupakan pembelaan yang tidak boleh dipercayai memandangkan dakwaan itu tidak berasas kepada bukti yang boleh diguna pakai.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb, 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.