Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan hari ini untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada proses membuat keputusan oleh Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan diraja boleh dicabar di mahkamah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan oleh Hakim Datuk Rohana Yusuf mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka untuk merujuk dua persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Tinggi juga diarah membuat rujukan itu ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim Rohana juga menghidupkan kembali permohonan Anwar dan keluarganya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar penolakan Lembaga Pengampunan atas petisyen bagi pengampunan diraja berhubung sabitan sodominya.

Permohonan mereka untuk kebenaran itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 15 Julai tahun lepas.

Hakim Rohana juga memerintahkan prosiding di Mahkamah Tinggi mengenai permohonan Anwar untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman dikekalkan sehingga penyelesaian perkara itu di Mahkamah Persekutuan.

Hakim juga menetapkan 2 Feb bagi pengurusan kes di Mahkamah Tinggi.

Dalam keputusannya, Hakim Rohana berkata perayu (Anwar dan keluarganya) telah memenuhi syarat perlu di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persektuuan.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi telah silap dalam melaksanakan budibicaranya dengan tidak merujuk persoalan yang ditimbulkan ke Mahkamah Persekutuan.

Turut menganggotai panel ialah Hakim-hakim Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Anwar, yang hadir pada prosiding hari ini, kini menjalani hukuman penjara lima tahu selepas gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 10 Feb, 2015 bagi mengetepikan sabitan atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 31, pada 2008.

Pada 24 Jun, 2015, Anwar dan anggota keluarganya - isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah dan Nurul Nuha - memfail cabaran perundangan terhadap penolakan Lembaga Pengampunan atas petisyen pengampunannya sebelum itu pada 16 Mac, tahun yang sama.

Terdahulu, peguam utama Anwar N. Surendran berhujah bahawa terdapat kekaburan dalam undang-undang kerana dua undang-undang kes yang dipakai oleh hakim Mahkamah Tinggi semasa menolak permohonan Anwar telah tidak diputuskan dengan betul.

Beliau berkata dua undang-undang kes menganggap kuasa pengampunan sebagai satu-satunya prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Surendran berkata terdapat pindaan kepada Artikel 40 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan pada 1994 yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong perlu menerima nasihat Lembaga Pengampunan dan Juraimi Husin lwn Lembaga Pengampunan, Negeri Pahang, dan undang-undang kes lain tidak mengambil kira pindaan itu.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan berhujah bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa tunggal untuk memberi keihsanan dan tidak terikat menerima nasihat Lembaga Pengampunan.

Beliau berkata tidak ada keputusan Lembaga Pengampunan yang boleh diubah mengikut semakan kehakiman.