Kesungguhan peguambela Ramkarpal Singh yang memperincikan aspek teknikal dan saintifik dalam prosiding kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat pujian daripada Ketua Umum Pakatan Rakyat itu.

Anwar memaklumkan perkara itu ketika ditemui wartawan selepas selesai prosiding rayuan hari kedua petang tadi di luar kamar Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.

"Sangat impresif penghujahan pasukan pembelaan. Harap apa yang dibuat itu memberi kesan baik kepada saya dalam berdepan pendakwaan ini," kata beliau.

Pasukan pembelaan Anwar dalam kes tersebut diwakili bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram dan tiga lagi peguam yang kerap mengendalikan kes berprofil tinggi iaitu N. Surendran dan Rangeet Deo Kaur, selain Ramkarpal.

Ditanya pula tentang isu provokasi yang dilakukan segelintir penyokong beliau di luar pekarangan mahkamah, Anwar berkata: “Jika benar berlaku provokasi yang dimaksudkan, pihak pemantau kami dari dalam parti akan mengenal pasti mereka yang terbabit dan akan dikenakan tindakan."

Anwar yang meninggalkan pekarangan kompleks mahkamah sekitar jam 6 petang sempat menemui ratusan penyokongnya di luar dan mengingatkan mereka agar terus berhimpun secara aman.

"Bersoraklah sekuat manapun, itu boleh kerana itu hak kita. Tapi jangan sampai terikut dengan provokasi yang mengganggu ketenteraman umum," pesan beliau.

Prosiding rayuan kes liwat Anwar dilanjutkan sehingga Jumaat.