Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika siasatan dilakukan terhadap bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin, lapor The Malaysian Insider.

Anwar berkata berharap menjadi tanggungjawab beliau untuk membantu siasatan namun mahu SPRM akan bersikap profesional ketika menjalankan tugasan itu.

"Jika mereka tanyakan saya, saya akan bekerjasama, tiada masalah. Itu tanggungjawab saya membantu siasatan. Tapi mereka perlu bersikap profesional," katanya selepas dialog bersama belia Selangor, di Petaling Jaya hari ini.

Beliau yang mendakwa mempunyai 'bukti' penyalahgunaan kuasa Daim berharap SPRM tidak hanya menyasarkan kepada siasatan perniagaan perbankan Daim semata-mata.

15 tahun lepas, Anwar membuat laporan yang menuduh Daim mengaut berbilion ringgit melalui Bank Africa dan Eropah Timur menggunakan proksi.

Sebelum ini beberapa pemimpin pembangkang termasuk Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin mendesak SPRM menyiasat Daim atas dakwaan yang sama.

Daim ketika mengulas dakwaan tersebut menegaskan beliau sedia bekerjasama dengan SPRM dan yakin badan pencegah rasuah itu mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.

Dalam satu kenyataan, Daim juga menyatakan beliau terkejut dengan perhatian luar biasa media arus perdana terhadap dakwaan pembangkang berkaitan tuduhan yang dilemparkan padanya.

“Walaupun saya faham motif ahli politik PKR ini kerana mereka tidak tahu perkara lain selain politik dan membuat dakwaan tidak berasas, saya agak terkejut dengan perhatian yang diberikan kepada mereka oleh media mesra kerajaan.

“TV3 tidak akan memberi walaupun sedikit masa siaran pada Pakatan, tetapi mengudarakan sidang media PKR tidak kurang daripada tiga kali. NST dan Utusan juga menyiarkan laporan itu," katanya.