Tutup

Anwar sifatkan Singapura sebagai 'jiran dan rakan yang hebat'

Anwar sifatkan Singapura sebagai 'jiran dan rakan yang hebat'
Anwar berharap kedua-dua negara akan mengekalkan hubungan yang sentiasa baik, walaupun terdapat isu-isu yang menimbulkan perbalahan. - Gambar fail
SINGAPURA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Singapura sebagai 'jiran dan rakan Malaysia yang hebat' dan berkata tiada negara pada masa ini dalam ASEAN yang mempunyai 'terlalu banyak persamaan' seperti Malaysia dan Singapura.

Ketika berucap pada sesi pleno persidangan Persatuan Perundangan Inter-Pacific di sini pada Jumaat, Anwar berkata meskipun terdapat isu-isu dua hala yang tidak diselesaikan kedua-dua negara telah mendapat banyak manfaat dari segi ekonomi, sosial, budaya, dan keselamatan.
"Kami saling bergantung. Ini memberi manfaat kepada kita jika kita bekerjasama dengan lebih efektif sudah tentu berdasarkan amanah," katanya.

Anwar berharap kedua-dua negara akan mengekalkan hubungan yang sentiasa baik, walaupun terdapat isu-isu yang menimbulkan perbalahan dan berusaha untuk menyelesaikannya secara aman.
"Tanganinya dengan berhati-hati," kata Anwar ketika merujuk kepada rundingan antara Malaysia dan Singapura sekarang bagi menyelesaikan beberapa isu tertangguh berkaitan bekalan air dan sempadan maritim.

"Ia penting sekali walaupun terdapat beberapa isu yang menimbulkan perbalahan...yang sangat jelas sebagai perkara dasar," ujar beliau.

Anwar juga berkata beliau berharap kedua-dua pihak akan meneroka cara pendekatan baharu untuk meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara, ketika Malaysia mengalami tempoh peralihan dan masalah ekonomi akibat salah urus pentadbiran terdahulu.

PKR adalah salah satu daripada empat parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) di Malaysia diterajui oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih tampuk kerajaan selepas pilihan raya umum pada Mei tahun lepas.

Gabungan itu mencapai kesepakatan bahawa Anwar akan menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

-- BERNAMA


Tag: anwar ibrahim, singapura, hubungan dua hala, negara jiran, asean, sidang pleno, Persatuan Perundangan Inter-Pacific



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.