Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu yakin bahawa dirinya akan bebas daripada hukuman pertuduhan kes liwat.

Bercakap di hadapan wartawan tempatan dan antarabangsa sejurus keluar dari kamar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya selepas selesai sesi penggulungan rayuan oleh pihak pembelaan, Anwar memuji kesungguhan penghujahan yang dibuat oleh pasukan pembelaannya.

Beliau diwakili oleh empat peguam iaitu Datuk Seri Gopal Sri Ram, N. Surendran, Sangeet Deo Kaur dan Ramkarpal Singh.

"Mereka begitu hebat dalam penghujahan. Saya percaya selepas ini tiada lagi sebab atau hujah yang munasabah untuk mensabitkan saya dengan pendakwaan ini, apatah lagi ada usaha untuk menambah pula hukuman yang sedia ada," ujar Ketua Pembangkang itu yang terus menggunakan istilah ‘konspirasi terancang’ bagi merujuk kepada sifat kesnya.

Begitupun, pihak pendakwaan yang diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah turut bersedia dengan hujah kuat dalam sesi pembentangan yang bakal bermula esok, dan disambung pada hari kedua iaitu Isnin depan.

"Memanglah dia yakin menang. Anda harus yakin dengan kes dan hujah sendiri. Itulah tujuan prosiding rayuan dilaksanakan oleh mereka. Kalau tidak yakin, tak bermaknalah sesebuah rayuan.

"Maka, samalah juga dengan kami (pihak pendakwa). Kami juga yakin dalam pembentangan hujah kami. Dalam sesebuah perkara sentiasa ada dua sisi. Kami boleh menjawab semua isu yang diketengahkan oleh pihak pembelaan itu.

"Itulah keindahan dunia undang-undang," kata Muhammad Shafee yang tidak menolak kemungkinan tentang perbicaraan semula.