TAHUN ini, Malaysia akan menjangkau usia 60 tahun.

Walaupun ada pihak yang mengatakan Malaysia wujud pada tahun 1963, hakikatnya, negara ini telah menjadi negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1957.

Selama 60 tahun ini, adakah negara ini gagal dalam mencapai objektif kemerdekaannya – kemajuan, kesejahteraan dan kemakmuran untuk rakyatnya?

Ada pihak yang secara jelas menyebut Malaysia adalah sebuah negara gagal. Perkara ini juga ada tercatat dalam satu laporan akhbar tempatan atas talian.

Nilai ringgit yang telah jatuh sejak lebih setahun yang lalu, kos sara hidup yang meningkat dan kes rasuah yang dikatakan berleluasa – adakah negara kita ini seteruk itu sehinggakan tiada apa pun yang dapat kita banggakan? Adakah Malaysia yang telah kita bina daripada kemiskinan belenggu penjajahan ini adalah sekadar sebuah negara gagal?

Bersempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita berlapang dada dan melihat pencapaian negara bukanlah dari sudut politik tetapi lebih kepada pencapaian kita sebagai sebuah negara yang berjaya:

(a) Sewaktu Tanah Melayu mula-mula merdeka pada tahun 1957, masyarakat Melayu adalah golongan yang paling miskin, tidak berpendidikan dan menghuni peringkat terbawah dalam strata sosio-ekonomi masyarakat.

Dalam tempoh 60 tahun, sistem pendidikan negara telah banyak melahirkan golongan-golongan Bumiputra profesional yang – suatu yang tidak dapat digambarkan sewaktu Tanah Melayu (dan kemudiannya Malaysia) mula-mula merdeka.

Dahulu, dikatakan orang-orang Melayu/Bumiputera nak buat jarum pun tak pandai, tetapi sekarang, bukan sahaja jarum, kebanyakan jurutera yang membina jalan raya, mengendalikan projek Transit Aliran Massa (MRT) dan bangunan-bangunan megah adalah daripada golongan Bumiputera.
MRT
Walaupun begitu, sistem pendidikan negara tidak meminggirkan kaum bukan Bumiputera sama sekali kerana golongan profesional bukan Bumiputera pun bukan calang-calang.

Apa yang penting, indeks pembangunan sumber manusia (HDI) yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menempatkan Malaysia di tangga 59 antara 188 negara pada tahun 2015 – antara yang tertinggi di dunia. Maka tidak hairanlah lima universiti-universiti Malaysia sekarang adalah ‘top 300’ di dunia, seperti dilaporkan oleh New Straits Times pada 8 Jun 2017.

(b) Walaupun ada pihak yang melaporkan Malaysia bukanlah negara yang rapuh dan dikatakan tidak selamat, Malaysia ditempatkan di tangga 29 daripada 159 negara oleh Indeks Keamanan Global pada tahun 2017 mengalahkan United Kingdom, Korea Selatan, Perancis, Indonesia dan Amerika Syarikat – menunjukkan Malaysia adalah antara negara yang paling aman seantero dunia.

Apabila negara-negara lain di rantau ini dan di luar Asia Tenggara terpaksa menghadapi masalah perkauman yang menjurus ke arah ketidaktenteraman, masyarakat Malaysia mampu untuk hidup dengan harmoni di antara satu sama lain- menunjukkan kaum sikap keterbukaan masyarakat Malaysia untuk hidup aman dan damai.

(a) Kuala Lumpur, ibukota Malaysia salah sebuah kota paling banyak dikunjungi pelancong di dunia seperti yang dilaporkan oleh akhbar Telegraph pada tahun 2017- menunjukkan industri pelancongan Malaysia tetap berkembang pesat walaupun terdapat sentimen yang mengatakan negara ini semakin menjadi sebuah negara ekstremis.

(b) Malaysia memiliki sistem jalan raya antara terbaik di dunia, mengatasi Sweden dan setaraf Korea Selatan, berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia pada tahun 2015. Malaysia juga dilaporkan mempunyai sistem pengangkutan awam ke 11 daripada 138 terbaik di dunia.

(c) Rakyat Malaysia memiliki pasport kelima paling kukuh di dunia seperti yang disenaraikan oleh Passport Index pada tahun 2017. Di sebalik reputasi buruk yang dimomokkan oleh media barat ke atas orang-orang Islam, Malaysia adalah negara Muslim yang mempunyai pasport terkuat di dunia, membuktikan negara kita adalah negara Islam yang dihormati.

Rakyat Malaysia mempunyai akses bebas-visa/visa ketika ketibaan ke 155 negara di seluruh dunia. Kedudukan utuh ini adalah representasi terhadap reputasi baik Malaysia di mata banyak negara-negara seantero dunia.

Malaysia juga sudah berjaya membina dan sedang membina infrastruktur berkelas dunia

(a) Projek Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, jambatan sepanjang 24km menghubungkan Batu Maung dan Batu Kawan di Pulau Pinang pada tahun 2014 – jambatan terpanjang di Asia Tenggara;

(b) Penambahbaikan besar-besaran sistem rel bersepadu Lembah Klang menerusi penambahan stesen-stesen tambahan ke atas sistem LRT sedia ada dari Sri Petaling dan Kelana Jaya ke Putra Heights, pengoperasian sistem Sunway BRT dan pengoperasian MRT Sungai Buloh-Kajang, yang dikatakan antara tercanggih di dunia.

Selain itu, MRT jajaran kedua menghubungkan Sungai Buloh dan Serdang juga sedang rancak di bina untuk memudahkan perjalanan masyarakat di antara kedua-dua kawasan di Lembah Klang menjelang tahun 2024.

(c) Perasmian gedung KLIA2 sebagai hab utama penerbangan tambah murah di Kuala Lumpur pada tahun 2014, menggantikan terminal usang Low Cost Carrier Terminal (LCCT);

(d) Pembinaan dua bangunan yang bakal menggantikan Menara Berkembar Petronas sebagai struktur-struktur tertinggi di Malaysia iaitu ‘Signature Tower’ di Bandar Malaysia dan KL118 (yang bakal siap pada tahun 2018-2019);

Petronas Twin Towers

(e) Pengoperasian Terminal Bersepadu Selatan pada tahun 2011, terminal bersepadu perkhidmatan bas dan rel menggantikan Stesen Pudu dan Putra di Kuala Lumpur.

(f) Pembangunan Projek Lebuhraya Pan-Borneo sepanjang 1,073km menghubungkan Sabah dan Sarawak yang bakal tersedia pada hujung 2021.

(g) Perkhidmatan Sistem Keretapi Elektrik yang dibuka pada tahun 2010 sepanjang 755km dari Padang Besar ke Gemas yang menghubungkan Kuala Lumpur ke sempadan Thailand di Padang Besar dalam masa 5 jam sahaja;

(h) Pembangunan Projek Laluan Rail Pantai Timur (ECRL) menghubungkan Gombak dan Kota Bharu yang bakal siap pada tahun 2023; dan

(i) Pembangunan projek Keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura yang dijadualkan selesai pada tahun 2026.

Bolehkah sebuah negara gagal memulakan projek-projek infrastruktur mega seperti yang disenaraikan di atas?

Saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik, tetapi saya hanya memerhatikan apa yang sedang berlaku dalam negara. Isu rasuah, salahguna kuasa dan sebagainya mungkin membelenggu negara kita tapi itu bukan alasan atau penyebab untuk kita katakan Malaysia adalah sebuah negara gagal.

Lebuhraya
Negara gagal adalah seperti Somalia, Syria, Iraq, Liberia dan Congo yang mana rakyatnya sukar untuk mencari makan walaupun sesuap nasi. Walaupun rakyat Malaysia sering mengomel mengenai kos sara hidup dan sebagainya, terdapat sebilangan besar juga rakyat Malaysia yang berbelanja sakan di mall, cukup makan dan pakai.

Kalau kita negara gagal, bolehkah rakyat mengecapi kenikmatan ini? Sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan pentadbiran terkini, memburukkan negara bukanlah cara penyelesaian sesuai kerana kita boleh mengamalkan hak kita di peti undi.

Tidak perlulah kita politikkan apa jua perkara mengenai negara – bercakap baik mengenai negara bukanlah tanda kita menyokong parti pemerintah ataupun sebaliknya.

Menjelang hari kemerdekaan yang akan kunjung tiba, marilah kita sama-sama menghayati semangat merdeka – nikmat yang telah membawa kemakmuran, kejayaan dan kesejahteraan kepada kita sehingga hari ini.

Tanahair ini adalah milik kita semua rakyat Malaysia dan bersatulah kita dalam membangun dan memakmurkannya.

Hakikatnya, Malaysia bukanlah sebuah negara gagal.


* Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang dan seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal Unversity, Vladivostok, Rusia.

** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.