PADA Perhimpunan Agung Kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru berlangsung, pemimpin parti menegaskan dengan lantang objektif parti Melayu baharu yang dikenali dengan nama ringkas BERSATU itu.

Menurut Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan dasar beliau:

"Jika parti baru ini berhasrat mendapat sokongan orang Melayu, maka ia hendaklah menjadi parti Melayu/ Bumiputera...Inilah sebab-sebabnya kita tubuh Parti Pribumi Bersatu sebagai parti Melayu dan Bumiputera. Sementara kita lindungi Melayu/Bumiputera, caranya bukanlah dengan merampas hak dan harta orang lain. Tidak pernah sepanjang kita merdeka ada rampasan dibuat. Buat beberapa abad negara telah perkenal Dasar Ekonomi Baru; dasar yang bertujuan mengurangkan jarak perpisahan antara kaum. Dasar ini telah menambah sedikit kejayaan dan kemajuan Bumiputera."

Kesimpulan yang mudah dibuat ialah BERSATU ingin mengekalkan hasrat parti Melayu lama, United Malays National Organisation (UMNO) membentuk penyatuan orang Melayu supaya mereka diperkasakan dengan bilangan pengundi yang besar, yang akan mengesyorkan kesinambungan kuasa politik Melayu. Pada namanya PPBM yang baharu menggunakan perkataan bahasa Melayu “bersatu” walhal UMNO yang lama telah memilih perkataan bahasa Inggeris “united”. Unsur semantik kedua-dua perkataan ini seiring membawa implikasi bahawa kesatuan politik orang Melayu yang dihasratkan akan memanfaatkan bangsa, agama dan negara.
Dahulu 'vicious circle of poverty', sekarang 'vicious circle of affluence'.

Dalam perhimpunan agung tersebut jelas bahawa intipati segala seruan dan janji-janji yang disampaikan kepada 3,000 perwakilan daripada 135 bahagian ialah pembelaan pembangunan kaum Melayu. Ini tidak jauh daripada apa yang diperkatakan oleh UMNO selama ini. Sekali lagi, kita mendengar retorik politik yang penuh semangat ketika ianya disuarakan di PICC. Orang Melayu mesti ada harapan baharu dalam Malaysia Baharu oleh kerana kebanyakan mereka di luar bandar masih miskin. Masalah jarak kemiskinan antara kumpulan etnik sudah lama ditangani tetapi masih wujud dalam era baru.

Mungkin perkara ini tidak ada penyelesaian yang muktamad kerana ketidakseimbangan taraf ekonomi dan ketidaksamarataan peluang pekerjaan adalah sebahagian daripada lumrah hidup manusia. Ianya berpunca daripada kedudukan sosio-budaya kelompok-kelompok manusia yang berlainan serta pencapaian pelaajaran dan pendidikan individu yang berbeza-beza. Dahulu kita dengan ungkapan “vicious circle of poverty” yang melanda masyarakat, tetapi sekarang mungkin lebih tepat kita merujuk kepada “vicious circle of affluence”. Kedua-duanya kejam dan sukar dipecahkan.

Dari aspek rupa dan penampilan, PPBM juga memilih warna merah untuk baju ahlinya. Adakah warna ini melambangkan keberanian dan tekad orang Melayu mempertahankan bangsa, agama dan negara? Atau ia menunjukkan aliran darah merah orang Melayu dalam perjuangan politik mereka? Terlintas di kepala saya, mengapa tidak pilih warna biru yang menandakan kebolehpercayaan dan harmoni? Mengapa pemimpin BERSATU tidak terdorong untuk beralih ke warna putih yang penuh makna bagi melambangkan ketelusan dan kesucian nawaitu ahli dan kesungguhan mereka memerangi kleptokrasi dan gejala rasuah? Dalam soal ini, bukankah putih mencerminkan kesucian rohani dan hati nurani yang akan membersihkan kecomotan akhlak dan kelakuan? Adakah ini dianggap perkara remeh atau pada sebaliknya “branding” yang strategik?

Mungkin yang lebih penting kita dapat memahami bahawa perbezaan antara parti Melayu dahulu dan sekarang terletak bukan pada strategi pembangunan ekonomi yang dilaungkan atau warna baju yang dipakai tetapi pada landasan moral yang diakui. Bagi saya, yang menarik ialah falsafah PPBM yang dibentuk menerusi slogan “Berani kerana Benar” dan pendirian 3B iaitu Bersatu, Beramanah, Bermaruah.

Elok sekiranya setiap satu daripada lima nilai murni ini dibincang sedalam-dalamnya oleh pucuk pimpinan BERSATU pada tahap nasional, negeri dan bahagian supaya difahami sepenuhya. Pada tahap penerapan nilai-nilai tersebut, ianya harus dimanifestasikan dalam segala urusan parti, tingkah laku pemimpin dan ahli-ahli parti. Dengan ini maka terjaminlah masa depan parti meraih sokongan yang lebih kukuh.

Sehubungan ini, penonton televisyen dirumah terkejut apabila mendengar Naib Presiden PPBM dalam penggolongannya, menyarankan pemberian belanja dan kontrak kepada ketua-ketua bahagian supaya mereka mampu menjalankan tugas politik. Saranan ini disambut dengan tepuk sorak persidangan seperti di persidangan-persidangan agung UMNO apabila isu pengagihan kontrak, wang dan upah dicadangkan.

Masihkah slogan “cash is king” relevan?

Sangkaan bahawa Tan Sri Naib Presiden itu terlajak atau tersasul cepat bertukar kepada sesuatu yang lebih "sinister". Mungkinkah ini suatu strategi pucuk pimpinan PPBM untuk menguji reaksi para perwakilan, parti lain dalam gabungan Pakatan Harapan dan seterusnya umum? Ia dibidas sekeras-kerasnya oleh Ketua Armada yang dengan penuh emosi bertanya “Di manakah terletak maruah orang Melayu” (jika sentiasa meminta duit dan bergantung kepada orang lain?).

Sememangnya parti PPBM masih lagi muda walaupun barisan pemimpin veterannya ada untuk menyumbang pengalaman dan kebijaksanaan mereka berpolitik, lebih-lebih lagi dengan parti dan kumpulan etnik yang lain. Walaubagaimanapun, memandangkan keahlian golongan muda Melayu menjadi tumpuan parti, perkara ini harus ditangani dengan segera.

Nilai-nilai integriti dan tadbir urus yang kental mesti diketengahkan setiap kali bermesyuarat atau bersidang supaya ianya diserapkan di dalam hati sanubari ahli tua dan muda dan diterapkan dalam setiap urusan harian. Bengkel, seminar dan forum perlu diselenggarakan supaya ahli benar-benar yakin bahawa Bersatu, Beramanah dan Bermaruah penting bagi melaksanakan hasrat BERSATU untuk menjadi parti pilihan orang Melayu.

Lepas itu barulah boleh bertindak Berani Kerana Benar! Barulah rakyat boleh meyakini bahawa gejala rasuah dapat diperangi dengan jayanya dan pentadbiran kleptokrasi tidak akan berulang lagi.


* Datuk Halimah Mohd Said ialah Presiden, Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul (PCORE).

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.