Pelaksanaan satu tempoh percubaan cadangan perintah berkurung terhadap golongan remaja di bawah umur 18 tahun perlu dilakukan untuk beberapa bulan bagi memastikan tahap keberkesanannya terhadap remaja dan kanak-kanak di masa hadapan.

Pakar psikologi kanak-kanak, Profesor Madya Dr Mariani Md Nor berkata ini boleh disusuli dengan mendapatkan pandangan dari pelbagai pihak untuk melihat impaknya sama ada ia positif atau sebaliknya.

"Pada saya, ia perlu dikaji dengan terperinci. Kenapa perlu dilaksanakan? Kita perlu kenal pasti ciri-ciri kanak-kanak dalam kelompok umur sedemikian dan apakan kesannya jika ia dilaksanakan.

"Kita perlu tahu, adakah benar apabila dilaksanakan (perintyah berkurung), kanak-kanak dan remaja kurang dipengaruhi dengan gejala dadah, berpesta di kelab malam dan sebagainya, maka ini boleh," kata Dr Mariani kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan sedang mempertimbangkan secara serius cadangan pelaksanaan perintah berkurung bagi remaja di bawah umur 18 tahun.

Jelas Wan Azizah, perintah ini mencontohi pelaksanaan yang sama di Iceland yang membolehkan ibu bapa mengetahui lokasi anak-anak, yang sekali gus membendung golongan remaja dari terjebak dalam gejala negatif seperti menghidu gam.

Peraturan itu yang mewajibkan remaja berada di rumah sebelum 10 malam juga dikatakan dapat memastikan anak-anak mendapat tidur yang mencukupi, sekali gus memberi kesan positif kepada kesihatan mereka.

Namun, Dr Mariani berkata secara realiti kebanyakan kanak-kanak tidak tidur awal walaupun berada di rumah.

"Kanak-kanak dan remaja kadang-kadang tidur selewat-lewatnya 1 pagi atau 2 pagi kerana gajet.

"Apabila ibu bapa pantau, mereka akan tidur. Tetapi bila masuk jauh malam, mereka akan berinteraksi dengan kawan-kawan di media sosial.

"Walaupun perintah berkurung itu mengelakkan mereka berkeliaran lewat malam, mereka tetapi berkeliaran di alam maya," kata Dr Mariani.

Menurutnya, antara faktor utama menyebabkan golongan remaja sering keluar rumah adalah untuk mencari jati diri, berkawan dan untuk mendapatkan pengiktirafan dalam kumpulan rakan.

Beliau menegaskan ibu bapa memainkan peranan penting untuk menarik minat anak-anak untuk meluangkan masa di rumah, selain memantau kegiatan anak-anak serta memastikan mereka melakukan aktiviti sihat.