Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilihat kurang senang apabila ditanya mengenai kedudukannya dalam UMNO.

Ketika ditemui di Parlimen hari ini, beliau ditanya jika akan bercuti sementara daripada tugasnya sebagai Presiden parti, memandangkan beliau kini berdepan 45 pertuduhan mahkamah berkaitan pengubahan wang haram dan pecah amanah, antara lain.

Namun, daripada menjawab soalan itu, beliau sebaliknya mempertikaikan hak wartawan ini untuk bertanya soalan tersebut.

"Apa hak you tanya soalan?" tanya Ahmad Zahid sambil tersenyum.


Kedudukan bekas timbalan perdana menteri itu sebagai Presiden UMNO menjadi tanya tanya selepas beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 45 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hassan berkata, Ahmad Zahid mungkin perlu mengambil cuti daripada menjalankan tugas-tugas parti selepas didakwa di mahkamah.

Menurut Mohamad, UMNO mempunyai prosedur operasi standard (SOP) pada tahun 2009 yang memerlukan pemimpin tinggi bercuti jika berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung parti, Tan Sri Annuar Musa berkata, SOP tersebut hanya boleh digunakan sekiranya UMNO adalah sebahagian daripada parti yang memerintah.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga dilihat acuh tidak acuh ketika menjawab beberapa pertanyaan wartawan lain.

Ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa "UMNO sudah tiada", Ahmad Zahid hanya menjawab, "Ada".

Apabila ditanya bagaimana UMNO mahu menangkis tanggapan tersebut, beliau hanya menjawab, "Biar lah dia (Dr Mahathir)."