"Apa salahnya jumpa Tun Mahathir?" - Tok Mat

"Apa salahnya jumpa Tun Mahathir?" - Tok Mat
Mohamad Hasan berpendapat, seandainya bertemu Mahathir di PRK Rantau, perkara itu tidak perlu dijadikan isu.
SEREMBAN: Calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak ada masalah untuk bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya bertembung dengan Perdana Menteri pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Bahkan, Timbalan Presiden UMNO yang menjalankankan tugas-tugas Presiden itu juga tidak melihat pertemuan dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu  sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Tengoklah kalau terjumpa, apa salahnya? Saya tak bermusuh dengan siapa-siapa. Kita kempen cara sihat. Saya pernah bekerja dengannya. Jadi tiada masalah,” jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Rantau, Negeri Sembilan pada Khamis.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, sepanjang berkempen, beliau boleh berjumpa dengan mana-mana pengundi.

“Kalau saya boleh jumpa makcik-makcik dan jumpa pakcik-pakcik, takkan kalau terjumpa Tun Mahathir saya tak nak jumpa.

“Tetapi kalau beliau di Sendayan dan saya di Mambau, bagaimana nak jumpa?” kata beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, tidak timbul sebarang isu sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri atau sebaliknya jika calon Pakatan Harapan, Dr S Streram tewas pada PRK Rantau.

Perkara itu, kata Mohamad, terpulang kepada Majlis Presiden kerajaan Harapan untuk membuat pelantikan Anwar bagi menggantikan Dr. Mahathir.

Menurut Mohamad, Dr Mahathir sebelum ini juga sudah memberitahu dengan jelas bakal penggantinya kelak.

“Tun M dah kata bila beliau berhenti Anwar akan jadi perdana menteri, tetapi tak tahulah bila beliau akan berhenti.

“Lagi pun apa kena mengena PRK Rantau dengan perdana menteri? Bagi saya tidak ada isu dan ini isu remeh,” katanya.