APABILA kertas soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah pun bocor, ini memang sesuatu yang sangat memalukan kita semua. Ia melontarkan persoalan besar tentang nilai yang dipegang oleh masyarakat termasuk dalam kalangan mereka yang memikul amanah mendidik anak-anak bangsa.

Seorang pembaca Astro AWANI dalam komentarnya dengan tepat merumuskan bahawa isu ini bukan hanya tentang UPSR saja. Ada hal lain yang lebih besar yang harus jadi perhatian kita semua -- tentang tanggungjawab, kejujuran dan amanah; tentang ikhtiar, wibawa dan maruah.

Apakah nilai-nilai itu sudah jadi terlalu mahal di negara ini?

BERITA TERKAIT
Soalan Sains bocor, peperiksaan UPSR ditangguh
Muhyiddin minta maaf kepada murid, ibu bapa
Kertas Matematik UPSR juga bocor?

Tindakan membocorkan soalan peperiksaan awam ini sesuatu yang langsung tidak boleh kita terima. Ia bukan saja mencemarkan lagi pandangan orang kepada sistem pendidikan negara -- lebih daripada itu, ia satu pengkhianatan kepada matlamat pendidikan itu sendiri.


Bom jangka

Sungguhpun apa yang berlaku ini membuatkan kita marah dan malu, ia bukanlah pula sesuatu yang membuatkan kita sangat terkejut. Ini adalah bom jangka yang sememangnya sudah lama menunggu masa untuk meledak.

Ledakannya menelanjangkan wajah buruk masyarakat dan sistem nilai yang sudah rosak parah. Kita menggunakan penanda aras yang salah untuk mengukur kejayaan. Kita tersilap apabila percaya bahawa lulus peperiksaan -- dengan banyak A -- akan menjadikan anak-anak kita manusia yang baik. Kita tersilap apabila memberikan penekanan yang salah tentang matlamat pendidikan. Untuk apa sebenarnya anak-anak diwajibkan masuk sekolah? Guru yang mendidik pun sampai terlupa dia jadi guru untuk apa, anak-anak yang diasuhnya itu mahu dibentuk jadi apa.

Anak-anak yang murni dan bersih jiwanya itu kita racun dan rosakkan pemikiran mereka. Mereka mesti berjaya. Berjaya itu ialah dapat banyak 'A'. Sistem nilai masyarakat menetapkan bahawa seseorang murid belum (atau tidak) berjaya kalau sahsiah dan peribadinya baik tetapi tidak dapat penuh 'A'. Mereka dipupuk untuk rendah diri kalau tidak dapat banyak 'A' seperti rakan-rakannya yang lain.

UPSR
Banyaknya 'A' itu tidak juga meletakkan pelajar kita setanding dengan negara-negara lain dalam penilaian pendidikan peringkat antarabangsa - Foto Bernama

Apabila keputusan peperiksaan diumumkan, kita membilang berapa calon dapat 'A' penuh. Kita terlupa merayakan kejayaan yang mungkin kecil tetapi secara peribadi adalah kejayaan yang sangat besar. Kita jadi jaguh kampung. Banyaknya 'A' itu tidak juga meletakkan pelajar kita setanding dengan negara-negara lain dalam penilaian pendidikan peringkat antarabangsa.


Khianat

Tetapi kita terus memaksa anak-anak untuk dapat 'A' penuh -- dengan apa cara termasuk soalan bocor. Anak-anak itu tidak pernah tahu dan tidak pernah terfikir untuk khianat kepada diri mereka sendiri. Mereka tidak tahu tentang "soalan yang akan keluar nanti" kalau bukan ada yang menunjukkannya berserta jawapannya. Apabila ada yang menunjukkan kepada mereka soalan-soalan itu, apa saja yang kita ajarkan kepada anak-anak tersebut -- tentang betapa hidup ini tiada istilah putus asa, jangan takut buat silap atau gagal, yakin diri dan rajin berusaha dan sesudah habis segala ikhtiar berserahlah kepada Tuhan -- segala-galanya jadi sia-sia. Kalau sudah begini acuannya begitulah nanti kuihnya. Apatah lagi, mana mungkin ketam boleh mengajar anaknya berjalan betul.

Bolehkah selepas ini mereka percaya dengan penuh yakin kalau kita kata hendak naik tangga mestilah dari bawah? Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain. Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak. Apakah mereka faham?

Kemungkinannya apa yang mereka lebih faham ialah akan selalu ada jalan pintas untuk berjaya. Kalau seterusnya mereka dewasa mereka mudah jadi tidak amanah, menipu dan menyeleweng. Kalau itu berlaku, kita hendak salahkan siapa?


BERITA TERKAIT
Kertas Sains UPSR bocor disiasat bawah OSA, kata polis
Guru jangan subahat bocor soalan peperiksaan, tegas NUTP

Banyak orang lupa bahawa satu daripada sembilan cabaran strategik dalam Wawasan 2020 ialah "membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur." Cabaran itu masih sukar. Negara maju yang diimpikan masih jauh daripada jangkauan.

Bukan satu cabaran itu saja yang kita ada masalah. Bacalah semula kesemua sembilan cabaran dalam Wawasan 2020 itu satu persatu. Adakah kita dengan yakin boleh mengatakan kita sudah bersedia?