Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu mengadakan integrasi ekonomi serantau yang lebih mendalam bagi meneroka peluang timbul kesan limpahan dalam perdagangan serta rantaian bekalan global susulan krisis perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata peranan APEC sebagai inkubator kepada idea baharu dan platform yang cekap untuk program pembinaan kapasiti, perlu diguna bagi merapatkan perbezaan.

"Walaupun kawasan perdagangan bebas Asia Pasifik yang diilhamkan APEC masih lagi jauh, ia tidak wajar menjadi penghalang untuk ekonomi terbabit memfokus persamaan dan bekerja ke arah pertumpuan idea dengan meniru amalan terbaik yang boleh dipelajari antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media maya selepas mempengerusikan mesyuarat digital pertama untuk Menteri Perdagangan APEC, di sini, pada Sabtu.

Mohamed Azmin berkata, pandemik COVID-19 telah menyebabkan APEC bertindak lebih pantas dalam cara yang terselaras.

"Krisis kesihatan kali ini adalah ujian sebenar ke atas APEC yang menandakan perpaduan dan ketetapan dalam bertindak balas ke arah mempergiatkan semula ekonomi selepas pandemik.

"Seperti yang kami telah simpulkan melalui mesyuarat hari ini (Sabtu), ekonomi APEC akan terus berpadu bagi mengurangkan kesan krisis COVID-19," katanya.

Beliau berkata, komitmen itu sekali gus mencerminkan kepentingan mengekalkan pasaran sentiasa terbuka bagi menjamin perdagangan serta pelaburan yang bebas dalam persekitaran semasa.