Hasrat enam sekeluarga ingin menikmati lauk ikan bakar bertukar tragedi memilukan apabila tiga daripada mereka termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun disambar api dalam kejadian di Parit 12, Sungai Nibong, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mengakibatkan, kanak-kanak terbabit, Noor Atifah Abi Suffian, melecur 95 peratus, manakala ibunya, Noor Atikah Ishak, 25 tahun, dan adik bongsu Noor Atikah, Shahrul Nizam Ishak, 20 tahun, masing-masing cedera dan melecur di kedua-dua tangan dan kaki.

Noor Atikah berkata kejadian berlaku ketika dia ingin menghidupkan api menggunakan minyak petrol di luar rumahnya.

“Saya curah minyak petrol pada tempurung kelapa sebab nak hidupkan api. Tiba-tiba api marak dan saya mengelak ke tepi, tapi tak sangka api menyambar anak saya yang berada di belakang.

“Saya tak sedar, macam mana anak saya ada di belakang, saya ingatkan dia di dalam rumah,” katanya.

Menurut Noor Atikah, dia terus menjerit selepas melihat anaknya meraung kesakitan setelah api membakar keseluruhan badan anak sulungnya itu.

“Saya terus menerpa ke arah anak dan cuba menarik badannya, tapi api makin kuat hingga saya juga melecur,” katanya.