Gelombang kedua cuaca buruk diramal melanda Pulau Pinang dan Kedah pada bila-bila masa dalam jangka masa terdekat.

Dalam memastikan tahap kesiapsiagaan menghadapi amaran merah, pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil langkah-langkah awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan seumpamanya.

Menurut Penyelaras Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, selain daripada anggota dan aset, APM juga telah memperkemaskan bilik kawalan sekiranya amaran itu dikeluarkan.

Ia penting supaya sesuatu arahan akan mudah diterima dan diambil tindakan oleh setiap unit yang bertugas.

Selain itu juga pihak APM akan memberi fokus di lokasi yang berisiko tinggi seperti kawasan penempatan mangsa di sepanjang pesisir sungai dan tepi pantai.

Usaha penyelamatan juga perlu dilakukan dengan lebih tangkas dan cepat bagi memastikan keselamatan dan nyawa mangsa.

"Jadi untuk gelombang kedua dan ketiga ini, pihak Pertahanan Awam telah menyediakan tenaga manusia seramai 400 orang yang terdiri daripada pegawai, anggota dan juga sukarelawan untuk bersiap siaga dalam bencana banjir.

"Untuk logistik pula, kita telah menyediakan 15 lori dan tahun ini pihak APM menerima lori-lori yang berkapisiti tinggi dan juga yang terkini daripada model-model yang kita telah dapat daripada perolehan lalu," ujar Saifuddin.

Selain itu, tambahnya, aspek kepantasan masa menyelamat mangsa juga turut dipertingkatkan, termasuk ketika memindahkan mangsa atau menyalurkan bantuan.

Jelas Saifuddin, ketika ini cuti semua anggota APM di seluruh negeri dibekukan sehingga Mac 2018, bagi memastikan jumlah kakitangan mencukupi dan sentiasa bersedia pada bila-bila masa.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan semua pihak agar sedia berdepan perubahan cuaca serta amaran merah gelombang kedua dan ketiga yang dijangka berlaku di utara Semenanjung.