Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu menasihati orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti di sepanjang pantai di negeri itu susulan keadaan angin kencang dan laut bergelora ketika ini.

Pengarahnya Lt. Kol. Che Adam A Rahman berkata ini kerana keadaan arus karau yang kuat berupaya menarik mangsa yang jatuh ke laut sehingga menyukarkan mangsa menyelamatkan diri.

"Seperti yang kita sedia maklum, salah seorang mangsa lemas di Pantai Bukit Keluang, Besut masih lagi belum ditemui sehingga kini, jadi saya sangat berharap agar orang ramai tidak berada terlalu hampir dengan pantai sehinggalah monsun Timur Laut ini berakhir sekitar Mac nanti," katanya kepada Bernama.

Tinjauan Bernama di Pantai Kelulut, Marang mendapati tiada pengunjung yang berani mendekati pantai berkenaan ekoran keadaan laut yang bergelora dan angin kencang sejak awal pagi tadi.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi melalui laman sesawang http://www.met.gov.my pula berkata angin kencang timur laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam serta ombak setinggi 4.5 meter dijangka berlaku di perairan Kelantan dan Terengganu sehingga esok.

Menurut portal itu lagi keadaan tersebut berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga esok.

-- BERNAMA