Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan merekodkan 21 kes tangkapan melibatkan nelayan asing dengan nilai rampasan kira-kira RM40 juta sejak Januari hingga semalam (Isnin).

Pengarahnya, Kapten Nurul Hizam Zakaria berkata ia susulan rondaan yang dilakukan APMM bagi membendung pencerobohan di perairan negara.

"Kapal dan bot agensi ini melakukan rondaan setiap hari di perairan Kelantan seluas 20,000 kilometer persegi bagi memastikan tiada aktiviti yang menyalahi undang-undang negara berlaku," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada program Jom Nyandat Sotong anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) bersama Roadcare (M) Sdn Bhd dan APMM Kelantan di sini hari ini. Ia disertai 35 pengamal media Kelantan.

Turut hadir Ketua Pengawai Operasi Roadcare Datuk Wan Imran Wan Omar dan Presiden Kemudi Mohd Zailani Abd Rahman.

-- BERNAMA