Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak akan berkompromi dengan anggotanya yang terbabit ataupun mengamalkan rasuah.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas dan melakukan pemantauan berterusan terhadap anggota APMM bagi mengelakkan mereka terbabit dalam kegiatan haram itu.

"Dalam kes tiga anggota APMM yang ditahan kerana terbabit dalam kes rasuah kemasukan bot nelayan asing di Sabah tahun lalu, saya juga terbabit secara langsung bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan."

"APMM tidak akan berkompromi dalam aspek ini dan akan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak SPRM untuk membendung masalah ini kerana ia melibatkan integriti anggota APMM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media sempena lawatan Ketua Pengarah APMM, di Wisma APMM Kota Kinabalu, di sini, pagi tadi.

Menurut beliau, antara langkah yang diambil untuk membendung anggota APMM terbabit dalam kegiatan ini ialah pegawasan pendapatan, pemantauan berterusan kadar keberhutangan warga maritim, cara hidup dan juga sesi kaunseling serta ceramah berbentuk keagamaan.

Dalam pada itu, APMM sentiasa komited dalam membanteras kegiatan pencerobohan bot asing di kawasan perairan negara.

"Sebelum ini kita telah menjalankan pembakaran bot-bot asing yang ditangkap menceroboh di kawasan perairan negara namun terdapat bantahan yang kita terima daripada Vietnam dan bagi menjaga hubungan diplomatik kita, pihak APMM telah menggunakan kaedah menenggelamkan bot berkenaan untuk dijadikan tukun," katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifli memaklumkan, sepanjang tahun lalu pihak APMM telah membuat tangkapan seramai 336 individu membabitkan 12,116 pemeriksaan di Sabah atas pelbagai kesalahan maritim.

"Pihak APMM juga turut terlibat dalam mengawal keselamatan di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) dengan menempatkan sebanyak 11 buah kapal dan 64 buah bot," katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Operasi APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd Taha Ibrahim dan Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.