Arahan pihak berkuasa supaya solat Jumaat tidak dilaksanakan pada Jumaat bagi mengelak penularan wabak COVID-19 bukan perkara baharu bagi Abu Bakar Abdul Rahman dari Kampung Tanjung Jering, Beris Kubor Besar, dekat sini.

Bagi Abu Bakar atau lebih mesra dengan panggilan Pak Cik Bakar, 83, peristiwa seperti itu pernah dilaluinya pada tahun 1938 iaitu zaman penjajahan British ketika beliau berusia sembilan tahun.

Masih segar dalam ingatannya, larangan seperti itu dikeluarkan pihak berkuasa disebabkan penularan wabak taun.

"Orang dahulu panggil penyakit taun ini adalah 'penyakit orang baik' yang mana penduduk diminta berjaga-jaga supaya tidak berada dalam jarak yang dekat bagi mengelak kuman merebak.

Ketika itu sudah ada arahan sesiapa yang berkaitan dibolehkan tidak pergi solat Jumaat, tetapi masjid tidak ditutup jadi terpulanglah pada individu untuk menghadiri solat Jumaat atau tidak," katanya di sini hari ini.

Pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan solat Jumaat tidak perlu dilakukan sehingga 31 Mac bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 merebak dan solat Jumaat digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

Abu Bakar berkata penyakit taun ketika itu terkawal, mudah nampak dan ada ubatnya, tidak seperti virus COVID-19 yang dialami kini yang cepat merebak.

Menurutnya pada 1945 pula Malaysia (ketika Malaya) pernah mengalami penyakit puru dan campak yang mudah berjangkit, cumanya cara ia merebak tidak seperti virus COVID-19 yang simptomnya kadang-kadang lambat kelihatan.

"Ketika penyakit berjangkit itu (muncul) saya tinggal di Kampung Gel, Kuala Krai jadi sesiapa yang terkena penyakit taun, puru atau campak perlu segera dapatkan rawatan di Hospital Kuala Krai," katanya.

-- BERNAMA