Seorang mangsa keracunan metanol yang kritikal, meninggal dunia semalam, menjadikan jumlah kematian di Perak meningkat kepada tiga orang.

Seorang lagi yang kritikal masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hopital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) manakala seorang mangsa yang dirawat di wad biasa telah dibenarkan pulang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional Dan Sumber Manusia Negeri, A Sivanesan berkata, mangsa yang dibenarkan pulang berumur 35 tahun.

“Bagaimanapun, setakat ini tidak ada kes baru dilaporkan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai program Memory Walk 2018 di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) di sini, hari ini.

Dalam kejadian minggu lalu, kesemua mangsa yang berusia dari 35 hingga 53 tahun itu mengalami simptom sesak nafas, sakit perut, loya dan muntah selepas disyaki minum arak tiruan.

BACA: KKM siasat kandungan lain dalam arak tiruan

BACA: Keracunan alkohol tidak lagi terhad ke Lembah Klang

VIDEO: Arak beracun : Polis tahan dua lelaki

Dalam perkembangan lain, Sivanesa mengesahkan terdapat kes penularan wabak beguk (mumps) di Sekolah Tuanku Abdul Rahman sejak beberapa hari lalu.

Menurut beliau, semua mangsa telah dikuarantin di sekolah dan dipantau rapi Jabatan Kesihatan negeri bagi mengelak merebak.

"Saya belum dapat laporan lengkap mengenai kes ini namun keadannya terkawal," katanya.