"Arwah ada telefon pada petang sebelum kejadian bercerita mengenai keadaan ombak yang kuat di Pantai Sungai Ular dan langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan.

"Tetapi saya ada berpesan kalau keadaan tak mengizinkan, janganlah turun ke laut, bahaya. Namun dia tidak bercakap lanjut dan hanya bergurau dan berlawak seperti biasa," kata Siti Zubaidah Seikh Sadarudin, 62, kakak kepada ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang lemas kira-kira tiga kilometer dari Pantai Sungai Ular di sini, malam tadi.

Kejadian jam 9.30 malam itu berlaku ketika mangsa, Datuk Seri Seikh Muhamad, 60, menaiki sampan untuk ke tengah laut sambil ditolak dari pantai oleh anak saudaranya, Hizaifah Ahmad, 38, untuk meninjau pekerja mereka yang berada di atas tongkang di tengah laut.

Bagaimanapun, Hizaifah terselamat selepas sampan yang dinaiki mereka itu terbalik dipukul ombak besar.

Menurut Siti Zubaidah, arwah yang juga anak keenam daripada 10 adik-beradik itu baharu sahaja datang ke Kuantan atas urusan kerja.

"Sebelum mendapat perkhabaran sedih itu, anak saya, Hizaifah, ada bersamanya dan menelefon memberitahu tentang kejadian menimpa mereka.

"Anak saya memanggilnya abah, dia sangat rapat malah sentiasa bersama. Dia memberitahu saya bahawa arwah lemas ketika bersamanya untuk ke laut namun sudah dijumpai.

"Dia turut memberitahu sudah cuba untuk menyelamatkan abah namun keadaan gelap dan Allah yang menentukan segala," katanya.

Katanya lagi, jenazah dibawa pulang ke Klang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Teluk Gong, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Sani Harul, berkata, ketika bot yang ditolak sudah hampir tiga kilometer dari pesisir pantai tiba-tiba ombak besar memukul bot berkenaan hingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam laut pada kedalaman lima meter.

"Mangsa cuba diselamatkan anak saudaranya, namun gagal disebabkan keadaan ombak besar pada ketinggian tiga meter. Namun begitu dalam keadaan gelap gelita itu, setelah 15 minit sampan karam, mayat mangsa ditemui terapung tidak jauh dari tempat kejadian oleh anak saudaranya itu," katanya.