Bekas atlet olahraga kebangsaan Ishtiaq Mubarak ketika hayatnya merupakan seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab serta penyayang kepada keluarga.

Balu Allahyarham, Shamini Selvarani Abdullah, 52, berkata walaupun sentiasa sibuk dengan tugasan selaku jurulatih negara, arwah sentiasa mengambil berat tentang anak-anak.

"Ini dapat dilihat apabila arwah sentiasa menelefon anak sulung kami, Shaniz, yang baru saja menamatkan latihan dalam bidang perhotelan di Dubai," katanya kepada Bernama di rumahnya di Taman Zooview di sini, Jumaat.

Menurut Shamini, Ishtiaq, 65, yang mengalami serangan angin ahmar tiga tahun lalu, terjatuh di bilik air di rumahnya dan mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum meninggal dunia pada kira-kira 9.55 pagi.

Jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam KL-Karak, Taman Batu Muda, Gombak, pada kira-kira 6 petang ini. Terdahulu, solat jenazah disempurnakan di Masjid Al-Ridhuan, Hulu Kelang.

Mengulas lanjut, Shamini berkata arwah suaminya merupakan seorang yang bersederhana dalam kehidupan, berjiwa murni dan berdedikasi selain mempunyai minat mendalam dalam mengumpul motosikal berkuasa besar.

Beliau bagaimanapun berkata arwah terpaksa menjual sebahagian daripada koleksi motosikal itu susulan serangan angin ahmar berkenaan.

Disebabkan masalah kesihatan, Ishtiaq mengambil keputusan bersara sebagai jurulatih Januari lepas, kata Shamimi.

Beliau berkata suaminya sangat ceria ketika meraikan Hari Raya Aidilfitri semalam dengan kehadiran ramai anggota keluarga yang berkunjung ke rumah.

"Arwah begitu gembira menyambut Aidilfitri bersama anak-anak dan sanak-saudara lain," kata Shamini, seorang pegawai bank.

Selain isteri, Allahyarham meninggalkan dua anak perempuan, Shaniz, dan Shakira Mubarak, masing-masing berusia 26 dan 22 tahun.