Ibu kepada salah seorang pelajar Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terkorban dalam kejadian kebakaran pada 14 September lalu bersyukur apabila arwah anaknya berulang kali muncul dalam mimpi.

Menurut Surianty Mohamed, kemunculan Allahyarham dalam mimpinya sesuatu yang indah walaupun anak kesayangannya itu telah pergi menghadap Ilahi.

"Dengan mimpi ini terubat sedikit rindu saya pada arwah. Alhamdulillah, Allahyarham datang dalam keadaan berjubah putih, tersenyum dan amat baik.

"Selain saya, anak bongsu, Mohd Salahuddin Al-Ayubi, 6 tahun, yang sering memakai kopiah milik arwah turut bermimpi didatangi allahyarham,"

Adik bongsu Allahyarham, Mohd Salahuddin Al Ayubi sering memakai kopiah milik Allahyarham abangnya seperti yang diamanahkan oleh allahyarham dan turut bermimpi didatangi Allahyarham abangnya," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Datuk Wan Munadi Wan Mamat di sini hari ini.

Kata beliau, anak sulungnya itu memasuki pusat tahfiz berkenaan awal tahun ini dan berada di bawah penjagaan ayahnya di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kali terakhir beliau dan tiga adiknya bertemu allahyarham adalah pada Hari Raya Aidiladha.

Dalam kejadian 14 September lalu, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tersebut terkorban akibat terperangkap di asrama yang terletak di tingkat paling atas daripada bangunan tiga tingkat itu kira-kira 5.15 pagi.

Pada 16 September lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan tujuh remaja berusia antara 11 dan 18 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran berkenaan.

Dalam pada itu, Suriaty tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang berhubung kejadian yang menimpa anak kesayangannya bahkan memaafkan kesemua pelaku yang bertanggungjawab menyebabkan kebakaran pusat tahfiz tersebut.

Malah, beliau menyifatkan apa yang berlaku itu merupakan ketentuan Ilahi.

BACA: Kebakaran tahfiz: Disengajakan, silinder gas LPG punca api marak dengan cepat - Bomba

BACA: Tahfiz terbakar: Kesemua 23 mangsa sudah dikenal pasti

BACA: Pusat tahfiz terbakar: 'Semua mayat terbakar' - Ketua Polis KL

BACA: Pusat tahfiz terbakar: 'Ada yang menggelungsur dari saluran paip air' - Saksi

BACA: Pusat tahfiz terbakar: 'Periksa balik semua sekolah tahfiz' - Netizen

BACA: Pusat tahfiz terbakar: PM Najib ucap takziah

BACA: Pusat tahfiz terbakar: 23 maut, empat serius