Asalkan bijak mengambil peluang, kehidupan boleh berubah jauh lebih baik, berbanding apa yang dicitakan.

Itu yang dilalui anak muda dari pulau peranginan ini, setelah percubaannya dalam bidang kraftangan, membawa pulangan lumayan.

Mohd Ashraf Ammar Affandi, 34 tahun, mula melibatkan diri dengan kerja pengukiran kayu menggunakan laser, sejak tiga tahun lalu.

Penglibatannya terdorong selepas gagal mendapat kerja, biarpun mempunyai kelayakan akademik dalam bidang penyelenggaraan kapal terbang dari sebuah universiti di Sepang.

Kata Mohd Ashraf, dia melihat potensi kraftangan di Langkawi sebagai suatu yang bernilai kerana jarang sekali kerjaya itu diterokai anak muda seusianya.

Bukannya mahu mendabik dada, Mohd Ashraf sebaliknya berkata, kejayaan yang ditempanya hari ini adalah berkat usahanya yang tidak mengenal putus asa selama ini.

“Saya mempelajari bidang kejuruteraan kapal terbang tapi tidak pernah bekerja dalam bidang itu. Selepas tamat belajar, saya pulang ke Langkawi dan berkecimpung dalam bidang pelancongan.

"Pertama kali saya bermula, ada banyak persaingan, buat kayak, jungle trekking. Asalnya kami sahaja yang buat, tetapi bila ada persaingan, saya terfikir hendak buat benda lain.

"Asalnya ia hobi kecil-kecilan sebab saya memang minat bidang kayu dan minat bidang rekaan juga. Jadi, ia bukan sesuatu yang susah bagi saya," kata Mohd Ashraf.

Mohd Ashraf berkata, kejayaan yang ditempanya hari ini adalah berkat usahanya yang tidak mengenal putus asa selama ini. - Astro AWANI

Ketika ini, katanya, tempahan dibuat pelanggan melalui WhatsApp atau dalam talian.

Antara tempahan yang paling banyak diterima adalah ukiran wajah, selain sesuatu yang mendatangkan nostalgia kepada penempah.

Upah yang dikenakan adalah antara RM50 hingga ratusan ringgit, bergantung kepada jenis kayu yang digunakan.

Hasil kegigihannya, Mohd Ashraf kini memiliki bengkel kraftangannya sendiri yang baru dibuka di Bukit Lembu dekat Kedawang, di sini.

Dia yang bermula dengan ‘sekadar mencuba’, kini menjadikan bidang pengukiran sebagai punca utama pendapatannya.