Negara-negara ASEAN mempunyai sistem perkongsian apa sahaja maklumat terkini koronavirus yang turut disalurkan terus kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, maklumat itu akan membantu setiap negara terlibat dalam memastikan sebarang prosedur mengenai kawalan isu perkembangan virus berkenaan.

"ASEAN memang mempunyai hubungan perkongsian dan perkongsian maklumat yang kita kongsi dengan WHO.

"Jadi, apa-apa maklumat kita akan kita kongsi melalui persidangan video kerana kita tahu virus ini adalah baharu dan kita tidak mempunyai maklumat terperinci mengenainya.

"Kita perlu tahu bagaimana cara ia memberi kesan, kalau kita kongsi maklumat, data ini akan banyak membantu kita," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Taska Parlimen di sini, pada Jumaat.

BACA: 'Serba-serbi lengkap!' - Pesakit koronavirus kagum kemudahan wad hospital segera

BACA:
Koronavirus: Bayi 1 hari mangsa termuda dijangkiti

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan-o-cha yang mahu negara anggota ASEAN berkongsi maklumat di samping meningkatkan jalinan kerjasama bagi membendung penularan novel koronavirus 2019 (2019 nCoV) di rantau ini.

Prayuth yang mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, beliau bersetuju dengan presiden itu bahawa pertukaran maklumat dan kerjasama erat menerusi saluran sedia ada antara negara anggota ASEAN adalah penting bagi membendung penularan virus berkenaan.

Jumlah kematian disahkan akibat Koronavirus meningkat kepada sekurang-kurangnya 560, selepas pihak berkuasa di wilayah Hubei yang paling teruk terkesan, melaporkan 70 korban baharu pada Khamis.

Suruhanjaya Kesihatan di Hubei dalam maklumat kemaskini hariannya, turut mengesahkan 2,987 kes jangkitan baharu.

Sejumlah 69 kematian dilapor di wilayah Hubei dengan sekurang-kurangnya 2,447 kes jangkitan terbaharu.

Jumlah itu menjadikan angka jangkitan di wilayah itu berada pada sekurang-kurangnya 22,112 kes.