Negara-negara ASEAN diminta mengambil tindakan proaktif dalam memastikan kebakaran hutan dan tanah gambut dapat dikawal bagi mengelakkan jerebu merentasi sempadan terus berlaku.

Itu antara perincian yang dibincangkan dalam Mesyuarat ke-21 Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan Sub Serantau Jawatankuasa Pemandu Menteri mengenai pencemaran jerebu merentasi sempadan di Brunei yang bermula pada 5 hingga 6 Ogos.

Menurut Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis, menerusi mesyuarat tersebut Malaysia melaporkan semua tindakan yang sudah diambil bagi memastikan kebakaran terbuka dan jerebu dapat dielak.

“Dalam mesyuarat ini Malaysia telah melaporkan semua tindakan sudah diambil bagi memastikan insiden kebakaran terbuka dan jerebu dapat dielak.

“Ia termasuk mengemas kini Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan serta pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan yang baharu.

“Malaysia juga telah memaklumkan penguatkuasaan undang-undang terhadap pesalah yang menyebabkan kebakaran terbuka.

“Pada masa Malaysia juga akan memantapkan persediaan bagi memadamkan kebakaran dan memastikan kejadian jerebu merentas sempadan dapat dicegah,” katanya.



Mesyuarat tersebut dihadiri oleh lima anggota negara Asean termasuk Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Minggu lalu, keadaan sedikit berjerebu di sekitar Lembah Klang, sekitar selatan Pantai Barat Semenanjung dan sekitar Pantai Barat Sarawak.

BACA: Lembah Klang, Pulau Pinang bakal kena tempias jerebu Indonesia - MetMalaysia

BACA: Negara diselimuti jerebu kembali

BACA: Jerebu: Orang ramai dinasihatkan kurangkan aktiviti fizikal dan luar bangunan


Ia dilaporkan berpunca dari kebakaran tanah dan hutan di Sumatera serta Kalimantan, Indonesia.

Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 2 Ogos lalu, imej satelit Agensi Pentadbiran Kebangsaan Lautan dan Atmosfera (NOAA) mengesan 25 titik panas iaitu 23 di Kalimantan dan dua di Sabah.