Asia Aerospace City (AAC) di Subang, Selangor bakal meletakkan Malaysia sebagai pemain industri penyelenggaraan pesawat ternama dunia apabila siap kelak.

Majlis Amanah Rakyat (MARA), akan berusaha untuk menempatkan pakar dan jurutera terlatih yang telah mengikuti sepenuhnya kursus dan latihan industri tersebut di Moscow Aviation Institute (MAI).

Projek AAC yang bernilai lebih 1.5 billion ringgit oleh MARA kini telah siap 70 peratus dan bakal dibuka sepenuhnya pada 2018.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dalam lawatan kerja ke Rusia berkata, tenaga kerja yang bakal ditempatkan di pusat itu terdiri dari pelatih dan pelajar yang mengikuti pengajian di MAI dan juga Universiti Kuala Lumpur.

Menurutnya perjanjian persefahaman yang ditandatangani MARA dan MAI di Moscow adalah kesinambungan kerjasama Malaysia dan Rusia sejak 1997 dalam kejuruteraan pesawat.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian antara MARA dan MAI di Moscow, Rusia.