Menjelang tahun ini, rantau Asia Timur dan Pasifik akan mempunyai populasi bandar yang terbesar di dunia.

Namun, pada masa sama, rantau ini juga bakal mempunyai populasi terbesar golongan miskin bandar.

Ini dapatan yang diperoleh melalui kajian yang dibuat Bank Dunia dalam laporannya 'Bandar Asia Timur dan Pasifik: Meningkatkan Peluang Bagi Golongan Miskin Bandar'.

Menurut Pengurus Bahagian Pembangunan Bandar dan Pengurusan Risiko Bencana di rantau ini, Abhas Jha, jika kewujudan golongan miskin bandar tidak diurus dengan betul, ia bakal membawa impak negatif kepada negara.

"Proses urbanisasi itu sendiri tidak bermakna ia akan bawa pertumbuhan.

"Namun, jika ia diurus dengan betul, sudah pasti ia bakal membawa manfaat kepada penduduk. Jika tidak, ia akan memberi impak buruk kepada ekonomi bandar dan seterusnya negara," kata beliau.

Bagaimanapun, Abhas berkata, bukan semuanya adalah berita buruk buat bandar di rantau ini kerana terdapat beberapa negara yang berjaya menguruskan proses urbanisasi mereka dengan baik.

"Berdasarkan laporan tersebut, kami melihat Jepun, Korea dan Singapura sebagai contoh terbaik," katanya.

Dengan kata lain, Abhas menambah, bandar-bandar di rantau ini mempunyai potensi yang tinggi untuk pertumbuhan pesat tetapi mereka harus bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut.

Beliau berkata demikian ketika pengumuman laporan tersebut pada satu sidang media di Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-9 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Beliau ditemani Pakar Perbandaran Bank Dunia Judy Baker, yang turut menjadi Ketua Penulis laporan tersebut, ketika sidang media itu.

WUF yang bermula pada Rabu lepas dijadualkan berlangsung sehingga Selasa depan.