Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai lebih RM12,000.

Menurut sumber, ASP yang berusia 42 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Bintulu kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi.

Menurut sumber lagi, siasatan awal mendapati suspek telah meminta dan menerima wang suapan daripada sebuah syarikat sebagai balasan bagi melindungi kegiatan menjual nombor ekor haram dan menjual arak serta rokok tanpa cukai di sebuah daerah di Sarawak sekitar Jun hingga Disember 2019.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tambahnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bintulu esok untuk mendapatkan perintah reman.