Astro dan Karangkraf menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang membentuk sebuah syarikat usahasama untuk penghasilan dan penjanaan keuntungan menerusi pemilikan harta intelek di Malaysia dan rantau Nusantara.

Kolaborasi itu menyasarkan penghasilan bersama kandungan harta-harta intelek atau IP yang komprehensif meliputi segmen Melayu dan Islamik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Datuk Rohana Rozhan, dalam mencapai misi untuk memberikan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan, Astro memerlukan IP yang pelbagai untuk memenuhi kehendak setiap segmen pengguna.

"Pemilikan IP ini membolehkan kami untuk memaksimumkan potensi aliran masuk kewangan daripada pelesenan, Adex, langganan dan perdagangan.

"Pada masa sama, juga ia memberi peranan jangka masa panjang yang mampan kepada kami dalam rantaian media," katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani MOU antara Astro dan Karangkraf di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Husamuddin Yaacub, melihat kerjasama berkenaan bakal memanfaatkan kedua-dua pihak.

"Kami merasakan kami boleh mengambil faedah, kekuatan yang ada pada Astro kerana Astro kukuh dalam (platform) digital. Kita (Karangkraf) pula kukuh dalam cetak dan kandungan serta IP kita juga mempunyai pengikut ramai.

"Cuma kalau kita berkolaborasi dengan Astro, saya rasakan masa yang kita hendak ambil dalam mencapai hasil berganda adalah lebih baik, (berbanding) kalau kita buat sendiri," tambahnya.

Kerjasama antara Astro dan Karangkraf adalah selaras dengan strategi utama Astro dalam menguasai pemilikan bersama kandungan IP utama yang mempunyai data tarikan serantau dan memenuhi aspirasi syarikat untuk menjadi pembekal, pengumpul dan pengedar utama kandungan di ASEAN.

Hari ini, Astro telah menguasai sebanyak 71 peratus daripada keseluruhan isi rumah di Malaysia, merangkumi 21 juta individu di semua platform paparan, di rumah, secara langsung, aplikasi mudah alih atau di On Demand.

Manakala, Karangkraf pula memiliki 15 juta pembaca merentasi penerbitan bercetak dan aset digital mereka.