Fahaman yang menolak konsep ketuhanan atau ateisme adalah satu penyebaran yang mampu menganggu ketenteraman awam.

Pakar Rujuk Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd. Aziz berkata fahaman itu perlu dicegah kerana boleh menyebabkan ketidakselesaan dalam masyarakat Malaysia yang hidup berbilang kaum dan harmoni.

"Apabila satu pemikiran untuk tidak memiliki tuhan itu disebarkan, ini secara langsung boleh menjejaskan pandangan orang Islam ataupun menjejaskan hubungan antara orang Islam dengan mereka yang tidak menganut agama.

"Ini melanggar sistem perundangan negara kerana undang-undang melarang sebarang penyebaran doktrin yang tidak berasas kepada prinsip-prinsip Islam," kata Dr Shamrahayu dalam satu temubual bersama Astro AWANI, hari ini.

Dr. Shamrahayu juga menjelaskan Perlembagaan Negara juga hanya menjamin kebebasan beragama, dan tidak merangkum kebebasan untuk tidak beragama.

"Ini amat berbeza sekali dengan peruntukan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang memperuntukkan kebebasan untuk tidak beragama.

"Tetapi peruntukan itu tidak ada dalam perlembagaan kita, dan apa yang kita ada adalah kebebasan untuk menganut, mengamal, tertakluk dalam undang-undang," katanya.

Dr Shamrahayu juga berkata selain merujuk kepada perlembagaan, isu ini boleh dilihat dari segi falsafah negara.

"Falsafah negara sebagaimana kita tahu dalam rukun negara adalah, kita perlu menghormati pandangan tetapi tidak boleh melupakan tuhan.

"Prinsip pertama dalam rukun negara adalah kepercayaan kepada tuhan, dan sejarah di sebalik kewujudan prinsip ini adalah apabila ancaman subversif yang berlaku atas tajuk komunisme.

"Komunisme menolak ketuhanan, dan kesannya adalah ia akan mencemari prinsip rukun negara kita," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan pengikut ateism boleh didakwa di bawah Akta Hasutan.

Kata Asyraf Wajdi, fahaman ateisme menyangkal kesucian agama lain di Malaysia dan bercanggah dengan undang-undang berkaitan ketenteraman awam dan moral.