Ketika rakyat Malaysia meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-61 di tanah air, para atlet negara yang berjuang di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 tidak melepaskan peluang untuk turut sama menyambut hari ulang tahun kemerdekaan negara.

Kira-kira 40 atlet, pegawai dan jurulatih daripada kontinjen negara yang beraksi di kluster Palembang, sempat menyambut detik ulang tahun ke-61 Hari Kebangsaan tepat pada jam 12 tengah malam waktu tempatan (1 pagi waktu Malaysia) di sini.

Lengkap berpakaian seragam harimau, mereka menggegarkan Perkampungan Atlet di Bandar Sukan Jakabaring di sini dengan nyanyian Negara Ku sambil menaikkan Jalur Gemilang.

Ini disusuli dengan timbalan ketua kontinjen (Palembang) Datuk Dr SS Cheema mengetuai laungan 'Merdeka' sebanyak tiga kali sebelum memotong kek.

Beberapa sukarelawan yang bertugas di kawasan itu, turut menyertai sambutan itu.

Setakat Khamis, kontinjen Malaysia menduduki di tempat ke-13 selepas meraih lima pingat emas, 11 perak dan sembilan gangsa.

-- BERNAMA