Kementerian Pertahanan akan memberi fokus kepada kerja-kerja pasca banjir dalam usaha membantu semua mangsa yang terlibat dengan bencana banjir besar di negeri Pulau Pinang yang melanda hujung minggu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah pun berada di lokasi banjir sejak awal pagi semalam bagi menghulurkan bantuan kepada semua mangsa.

“Daripada tinjauan saya tadi sama ada di udara atau melalui anggota ATM, saya tengok keadaan sudah reda sedikit sekiranya tidak hujan lagi kita kena fokus kepada pasca banjir.

“Sebab itu peralatan yang kita bekalkan hari ni seperti waterjet (alat pancuran air) dan sebagainya untuk membantu mereka dalam proses hendak bersihkan kawasan masing-masing,” katanya selepas meninjau mangsa banjir di Flat Taman Penang Free School di sini hari ini.

Tinjauan turut disertai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Hishammuddin berkata, menerusi anggotanya yang berada di lokasi banjir, ATM lebih maklum dengan keperluan semasa yang diperlukan mangsa terlibat.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan tanggungjawab itu kepada ATM untuk menilai bentuk bantuan yang bersesuaian kepada semua mangsa termasuklah kerja-kerja pembaikan rumah dan infrastruktur yang rosak.

Menurut Hishammuddin, buat masa ini, ATM telah menggerakkan kira-kira 200 pegawai dan anggota di bawah naungan Divisyen Kedua Infrantri Malaysia (2 Div) dari pasukan Batalion Kedua Askar Melayu Diraja.

Turut terlibat, ialah Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja, Rejimen Ketiga Kor Armor Diraja dan Rejimen 509 Askar Wataniah serta beberapa lagi unit sokongan di bawah naungan 2 Divisyen.

Sementara itu, Hishammuddin mengingatkan semua pihak agar mengambil iktibar daripada kejadian banjir besar yang melanda Pulau Pinang memandangkan bencana itu disifatkan berbeza daripada kejadian sebelum ini.

Katanya, banjir kilat yang menenggelamkan banyak kawasan di negeri itu sejak Sabtu disebabkan air naik dengan pantas dalam tempoh yang singkat.