Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan kesemua anggota Pasukan Khas telah ditamatkan penugasan mereka sebagai pengiring rapat kepada bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam satu kenyataan hari ini, pasukan keselamatan negara itu mengambil maklum saranan Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu untuk menyiasat dakwaan mengenai tiga anggota Pasukan Khas yang masih berkhidmat dengan Ahli Parlimen Sembrong itu.

“ATM akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan semua anggota Pasukan Khas yang masih berkhidmat tidak melaksanakan tugasan dengan pihak yang tidak mempunyai hak dan kaitan berdasarkan peraturan semasa.

“Dalam masa yang sama, tindakan yang tegas akan diambil ke atas mana-mana anggota sekiranya mereka didapati melanggar perintah dan peraturan semasa,” kata kenyataan itu.

Menurut laporan sebuah portal berita baru-baru ini, dua anggota itu daripada Pasukan Khas Laut (Paskal) masing-masing berusia 37 dan 41 tahun dengan tahun akhir berkhidmat pada 2020 dan 2021, manakala pegawai pengiring ketiga adalah seorang komando.

Laporan terbabit yang memetik sumber ATM dan Kementerian Pertahanan memaklumkan tiada banyak maklumat mengenai komando itu, namun anggota terbabit didakwa antara individu dalam satu gambar yang dimuat naik Hishammuddin menerusi Twitter, minggu ini.

Semalam, Hishamuddin menerusi laman Twitternya mengesahkan ketiga-tiga anggota Pasukan Khas itu menjadi pegawai pengiringnya hanya berkhidmat untuk sementara waktu sahaja.

Beliau berkata, telah menawarkan mereka untuk bekerja dengannya sekiranya mereka meletak jawatan.