Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana melibatkan pasukan bola sepak Malaysian Indian Sports Council-Malaysia Indian Football Association (MISC-MIFA).

Saksi yang dicari ialah Khairul Anuar Baharum atau lebih dikenali sebagai “Ah Chong” dalam kalangan pemain bola sepak tempatan.

Ah Chong yang pernah bermain untuk pasukan bola sepak Selangor dan Negeri Sembilan diminta hadir ke ibu pejabat SPRM dengan segera bagi membantu melengkapkan siasatan kes tersebut.

Jika gagal berbuat demikian, tindakan sewajarnya akan diambil terhadapnya mengikut peruntukan undang-undang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang Ah Chong diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penguasa Mohd Fadzli Alias di talian 03-88867000 atau 018-2744533.