Tiga bekas pemain bola sepak T-Team dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas kesalahan memberikan keterangan palsu berhubung kes mengatur perlawanan antara pasukan itu dengan pasukan Pahang, Terengganu dan Selangor pada tahun 2014.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan berkenaan selepas ketiga-tiga tertuduh -- Mohd Hanifzam Muda, 26 tahun; Mohd Hafiz Mohd Noor, 26 tahun; dan Mohd Nadzmeer Hisham Mohammad, 25 tahun -- menukar pengakuan kepada bersalah ketika perbicaraan dijalankan.

Hakim Mohamad Haldar memerintahkan hukuman penjara tambahan 12 bulan terhadap ketiga-tiga mereka sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Mohd Hanifzam yang bekerja sebagai buruh, Mohd Hafiz seorang konstabel polis dan Mohd Nadzmeer Hisham yang bekerja sebagai pembantu penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu membayar denda tersebut.

Pendakwaan dilakukan oleh timbalan pendakwa raya, Mahadi Abdul Jumaat.

Ketiga-tiga bekas pemain T-Team terbabit didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 27 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau didenda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa memberi keterangan palsu sewaktu prosiding dijalankan di Mahkamah Sesyen Tiga Kuala Terengganu pada 6 dan 7 Mei 2014.

Dalam perbicaraan itu, semua tertuduh didakwa memberikan keterangan bercanggah dengan kenyataan yang telah diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).