Seramai 107 pesalah yang dihukum kerana melakukan jenayah mengikut Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 telah disenaraikan dalam Daftar Kanak-kanak (DKK) sepanjang 2017.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, ia bertujuan membekalkan maklumat mengenai individu yang akan diambil bekerja dalam industri berkaitan kanak-kanak seperti pengasuh, warden asrama dan pengusaha kantin.

Tambahnya, isi kandungan daftar tersebut diperluas bukan sahaja rekod khusus mengandungi butiran kanak-kanak yang memerlukan perlindungan, malah membabitkan maklumat pesalah jenayah berkaitan akta berkenaan.

"Senarai pesalah di dalam daftar ini adalah sulit dan tidak akan diumumkan atau dipaparkan tetapi ianya maklumat ataupun data yang dikumpul bagi semakan oleh pihak yang memerlukan.

"Ia termasuk bagi tujuan saringan terhadap individu yang diambil bekerja dalam sektor yang melibatkan kanak-kanak. Ia adalah merupakan usaha majikan untuk mempertingkatkan keselamatan terhadap kanak-kanak," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) yang ingin tahu bila kementerian berkenaan menguat kuasa Daftar Kanak-Kanak serta kriterianya.

Antara kesalahan yang dilakukan bukan hanya membabitkan jenayah seksual semata-mata tetapi kesalahan lain seperti mendera, mengabaikan, membuang, menggunakan kanak-kanak untuk aktiviti mengemis atau aktiviti menyalahi undang-undang termasuk menggunakan kanak-kanak untuk perhimpunan jalanan serta membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan sepatutnya

Azizah berkata, tujuan perluasan maklumat dalam DKK adalah untuk membekalkan maklumat mengenai individu yang akan diambil bekerja dalam industri berkaitan kanak-kanak.

Katanya, ia membabitkan bidang penjagaan di institusi jagaan, pengasuhan di TASKA, pendidikan di sekolah, perubatan serta perniagaan berkaitan pengendalian kanak-kanak.