Kegunaan telefon pintar dalam kalangan kanak-kanak bukan lagi isu baharu.

Selaras dengan era tekonologi, ia merupakan satu keperluan dan kemudahan untuk ibu bapa berkomunikasi bersama anak-anak mereka, terutamanya pada waktu kecemasan.

Telefon pintar juga dimuatkan dengan pelbagai aplikasi media social seperti WeChat, WhatsApp, Facebook, Instagram dan Twitter.

Walaupun aplikasi ini mempunyai banyak kebaikan untuk berkongsi maklumat bersama ahli keluarga dan rakan-rakan, kanak-kanak yang menggunakan teknologi ini juga boleh terdedah kepada individu yang tidak dikenali.

VIDEO: Aplikasi telefon bimbit bantu cari kanak-kanak hilang

Namun di sebalik kebaikan itu, aplikasi WeChat antara aplikasi sosial yang paling kerap digunakan oleh pelaku pedofilia untuk mencari mangsa pada 2015, berbanding laman media sosial lain.

Memetik laporan Bernama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Ong Chin Lan berkata dalam tempoh itu, sebanyak 138 daripada 184 kes kanak-kanak mengenali pelaku pedofilia di seluruh negara melalui aplikasi WeChat.

Apa kata pakar?

Pakar Psikologi Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Mariani Md Nor berkata tidak salah untuk kanak-kanak menggunakan telefon pintar.

Malah, bagi ibu bapa yang berkemampuan, kanak-kanak semuda tujuh atau lapan tahun sudah mempunyai telefon pintar.

Justeru, tegas Dr Mariani, golongan kanak-kanak belum akil baligh merupakan golongan yang perlu dipantau kerana senang menjadi mangsa pelaku pedofilia.

“Kumpulan ini (kanak-kanak) suka bercakap dengan mereka yang suka bercakap dengan mereka. Mereka juga perlukan perhatian jikalau ibu bapa tiada di rumah kerana sedang bekerja.

“Pelaku pedofilia ini pula pandai mencari mangsa dan akan menggunakan telefon pintar ini untuk mencari mangsa. Golongan ini juga pandai ambil hati. Kanak-kanak ini pula teruja apabila ada orang yang melayan dan berkomunikasi bersama mereka,” kata Dr Mariani ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau mencadangkan agar telefon diberi diberi kepada anak-anak yang sudah akil baligh.

“Umur tujuh atau lapan tahun tidak sesuai lagi. Kalau umur lebih kurang 11 tahun, mereka sudah berdikari tetapi ibu bapa kena beri nasihat.

“Kalau nak sentiasa pantau, ibu bapa sibuk bekerja. Tetapi mereka tetap perlu berbuat demikian dan sentiasa beri nasihat. Tunjuk kepada mereka tentang mangsa-mangsa pelaku pedofilia.

"Kalau ada bukti, tunjuk kepada mereka dan buat mereka bimbang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa setiap pelaku pedofilia mempunyai keinginan yang berbeza.

“Jangan ingat mereka suka kanak-kanak perempuan sahaja. Kanak-kanak lelaki juga boleh jadi mangsa. Jadi ibu bapa perlu berjaga-jaga tidak kira jantina anak-anak mereka,” katanya.

BACA: Pergi sekolah untuk belajar, bukan main handphone - Ibu bapa