Tragik!

Seorang kanak-kanak dalam keadaan berlumuran darah terpaksa merangkak naik dari gaung untuk meminta bantuan daripada pemandu kenderaan lalu lalang setelah kereta dipandu ayahnya terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 200 meter di kilometer 27, Jalan Gerik-Kupang malam tadi.

Mangsa Muhammad Firdaus Md Zahar, 9 tahun ketika ditemui dilaporkan sedang menangis ketika berjalan seorang diri di tepi jalan raya sebelum disedari orang awam berhampiran lokasi kejadian.

Kemalangan yang berlaku sekitar 7 malam tadi itu telah mengorbankan ayah Muhammad Firdaus, Md Zahar Md Ali, 38 tahun dan adiknya, Muhammad Faris, tujuh tahun.


Gerik, mangsa, kemalangan maut
Ketua Polis Gerik, Superintenden Ismail Che Isa berkata hasil siasatan awal dan maklumat saksi yang datang dari arah bertentangan mendakwa ternampak Muhammad Firdaus dalam keadaan berlumuran darah di tepi jalan.

"Saksi kemudian berpatah balik ke arah mangsa dan dimaklumkan oleh mangsa bahawa bapa dan adiknya telah terjatuh ke dalam gaung. Saksi kemudiannya menghubungi 999 bagi mendapatkan bantuan," ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Menurutnya, kereta Proton Exora yang dipandu Md Zahar dipercayai dipandu laju dan gagal dikawal ketika menuruni bukit di jalan selekoh dua lorong berdekatan sempadan Gerik-Baling menyebabkan hilang kawalan lalu terjunam ke dalam gaung kira-kira 200 meter.

Mangsa Md Zahar merupakan seorang tentera laut berpangkalan di Lumut dan sedang dalam perjalanan ke Baling untuk menziarahi datuk dan nenek Muhammad Firdaus di Baling, Kedah.

Menurut Ismail, mayat Muhammad Faris berjaya dikeluarkan pada pukul 10.25 malam dan mayat Md Zahar pada jam 11.40 malam.

"Waris ketiga-tiga mangsa telah dikesan dan siasatan lanjut di tempat kejadian akan diteruskan pada waktu siang," tambah beliau.

Bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa telah dijalankan di Hospital Gerik pagi tadi. Muhammad Firdaus yang mengalami kecederaan kepala sedang dirawat di Hospital Tuanku Bainun, Ipoh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.