Dua pelajar lelaki sedang tidur ditahan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di port penagihan dadah Kampung Pasir di sini, semalam.

Ketua Pegawai AADK Yan, Mohamad Ramli berkata, pihaknya membuat serbuan berkenaan hasil daripada laporan salah seorang bapa pelajar berkenaan.

“Ayah pelajar berkenaan buat laporan kerana bengang dengan anaknya yang selalu melepak di port penagihan itu sehingga tidak pulang ke rumah.

“Kedua-dua pelajar itu berusia 16 dan 17 tahun dan sudah lama tidak ke sekolah,” katanya.

Menurutnya, operasi bermula dari jam 8 pagi hingga 4 petang oleh tujuh anggota penguat kuasa itu turut melibatkan serbuan di beberapa kampung lain.

“Antara kawasan lain yang menjadi lokasi serbuan ialah di Kampung Bukit Besar; Titi Lahar; Titi Serong dan Kampung Titi Teras.

“Kita berjaya menahan enam lelaki berusia 16 hingga 40 tahun,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohamad berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat AADK Yan dan ujian saringan urin mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine.