Polis sedang mencari seorang lelaki bagi membantu siasatan kes tetak melibatkan seorang lelaki berumur 43 tahun di Kampung Telaga Mas dekat Paka di sini pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Ayah Mie BN dipercayai sedang bersembunyi.

"Dalam kejadian 11.45 malam itu, mangsa sedang berehat sebelum mendengar bunyi bising di luar rumahnya. Apabila mangsa membuka pintu, terdapat 40 lelaki di luar rumahnya dan suspek terus menetak pergelangan tangan kiri mangsa menggunakan sebilah parang.

"Mangsa cuba menutup pintu semula tetapi mereka telah menolak dari luar dan berjaya membuka pintu. Selepas itu, beberapa lelaki yang tidak dikenali terus masuk ke dalam rumah dan memukul mangsa.

"Mangsa telah jatuh di atas lantai dalam rumah dan kesemua lelaki itu terus keluar dan memecahkan kereta mangsa sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Baharudin berkata tetakan itu menyebabkan saluran darah dan urat tangan mangsa putus pada bahagian pergelangan tangan sebelah kiri dan mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan.

-- BERNAMA