Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said melahirkan rasa gembira apabila Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 diluluskan sebulat suara pada persidangan Dewan Negara kali ini.

Menurut Azalina, selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Berkaitan Jenayah Seksual Kanak-kanak, beliau menjangkakan RUU itu dapat dikuatkuasakan sebelum sambutan Hari Wanita tahun ini.

"Rang Undang-Undang ini merupakan usaha kerajaan melindungi kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa kepada individu-individu tidak berperikemanusiaan di luar sana," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13 Dewan Negara yang menyaksikan Anggota Dewan Negara kembali bersidang di bangunan asal yang telah dinaik taraf, ditangguhkan pada Khamis dengan meluluskan 13 RUU dan sebanyak 757 pertanyaan jawab lisan telah dikemukakan.

Azalina turut berterima kasih kepada semua Anggota Dewan Negara yang mengambil bahagian dalam perbahasan dan menyatakan komitmen dalam meluluskan 13 RUU ini yang kemudian akan dikemukakan untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan.

"Antara yang menjadi tumpuan rakyat adalah Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016 di mana bakal memberi peluang kedua kepada golongan bankrap untuk keluar daripada status kebankrapan.

"Pindaan ini juga membuktikan kerajaan komited untuk meringankan beban rakyat seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri dalam ucapan Bajet Tahun 2017," katanya.

Kesemua 13 RUU yang diluluskan ialah RUU Perbekalan Tambahan (2016) 2017, RUU Kebankrapan (Pindaan) 2016, RUU Mahkamah (Kaedah-Kaedah Pemulaan Tindakan Sivil) 2016, RUU Saraan Hakim (Pindaan) 2017, RUU Timbang dan Sukat (Pindaan) 2017, RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

RUU Perdagangan Strategik (Pindaan) 2017, RUU Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2017, RUU Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2017, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017, RUU Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2017, dan RUU Cukai Pelancongan 2017.

-- BERNAMA